Tony Pua bantah Najib tarik balik saman terhadapnya

Tony Pua bantah Najib tarik balik saman terhadapnya

Najib Razak memohon menarik balik saman terhadap ahli parlimen Damansara itu berhubung klip video membabitkan pembentangan RUU 355.

Free Malaysia Today
Peguam bekas perdana menteri, Mohd Hafarizam Harun tidak mengetahui sama ada defendan boleh menghalang pihaknya menarik balik saman. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon untuk menarik balik kes samannya terhadap Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee berhubung klip video membabitkan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata, bagaimanapun Pua yang diwakili peguam Tan Ch’eng Leong membantah permohonan Najib untuk menarik balik saman itu atas alasan Pua mendapat kebenaran untuk merayu daripada Mahkamah Persekutuan berhubung perintah injunksi yang diperoleh Najib dalam kes saman itu.

Mohd Hafarizam memberitahu pemberita, disebabkan itu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan 26 Julai untuk hujahan sama ada pihak defendan (Pua) boleh membantah permohonan Najib untuk menarik balik saman itu.

“Najib mahu menarik balik saman itu tetapi defendan membantah kepada permohonan menarik balik saman itu. Jadi bolehkah defendan menghalang kami menarik balik (saman) atau tidak,” katanya sambil menambah tidak pernah diketahui beliau ada defendan yang membantah permohonan plaintif untuk menarik balik saman.

Beliau berkata tarikh pendengaran bagi rayuan Pua di Mahkamah Persekutuan itu masih belum ditetapkan.

Pua dalam rayuannya mempersoalkan mengenai notis kehakiman Mahkamah Rayuan yang menyatakan Najib tidak melakukan kesalahan membabitkan isu 1MDB dan notis kehakiman itu dipersoalkan kerana ia membabitkan kepentingan awam dan boleh menjejaskan kes saman yang lain.

Pada 14 Februari lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pua untuk membatalkan injunksi sementara diperoleh Najib yang melarangnya (Pua) daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video fitnah terhadap bekas perdana menteri itu, mengambil kira notis kehakiman berhubung kedudukan Najib dalam kes 1MDB.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan itu berkata mahkamah berpendapat dan mengambil kira notis kehakiman secara faktanya Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam isu membabitkan 1MDB dan mengambil maklum keseluruhan isu berkenaan diteliti dan disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut panel itu, siasatan turut dilakukan oleh SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang keputusannya diumumkan kepada orang ramai oleh AGC Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dakwaan berkaitan 1MDB.

Pada 4 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang Pua daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa memfitnahnya (Najib).

Pada 21 April 2017, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Pua atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan Pua dalam “live video” berkaitan pembentangan RUU 355.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib mendakwa Pua membuat satu kenyataan di ruang legar Bangunan Parlimen pada 6 April 2017, yang dirakam dan dimuat naik oleh defendan dan/atau ejen-ejennya dalam Facebook rasminya “Tony Pua” serta mendakwa klip video berdurasi 2 minit dan 21 saat itu bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill”, boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di internet.

Dakwanya, kenyataan dalam “live video” itu mengandungi perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan membawa maksud beliau menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada Ahli Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian dan mengetepikan Rang Undang-Undang yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.