
Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) berkata restoran mamak tidak akan menaikkan harga makanan dan minuman selepas GST berkadar sifar walaupun harga barang mentah naik di pasaran.
“Kami pengusaha restoran mamak tidak akan menaikkan harga, harga di restoran mamak selepas GST berkadar sifar, ia adalah sama seperti dahulu,” kata Presidennya, Ayoob Khan Yakub kepada FMT.
Beliau juga berkata pihaknya tidak mengetahui 30% daripada restoran mamak di seluruh negara menaikkan harga makanan, dan baru mengetahui isu itu hari ini.
“Ahli restoran mamak, kami menurunkan harga makanan di premis mereka selepas GST berkadar sifar.
“Bukan ahli restoran mamak, kami tidak tahu mereka naikkan harga atau tidak, ia perlu dikaji balik,” katanya.
Ayoob Khan berkata pihaknya akan bertemu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyelesaikan masalah ini dan mendapatkan maklumat tentang masalah ini dengan lebih lanjut.
Semalam dilaporkan KPDNHEP mendapati 30% restoran mamak di seluruh negara menaikkan harga makanan selepas penguatkuasaan GST berkadar sifar.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu diperolehi hasil tinjauan kementeriannya melalui perbandingan harga makanan di premis terbabit sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar itu.
“Kami dapati harga makanan di 30% kedai mamak telah berlaku kenaikan harga, manakala 70% yang lainnya menyaksikan penurunan,” katanya.
Sementara Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) berkata sebahagian pengusaha restoran India tidak menukar harga makanan dan minum di restoran
kerana semasa adanya GST, mereka perlu membayar sendiri kepada kerajaan.
“Apabila GST sudah dihapuskan, pengusaha restoran India letak harga yang sama walaupun GST sudah berkadar sifar,” kata Presidennya Muthusamy Thirumenu.
Barang basah masih mahal, restoran mamak tak cadang turun harga