
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Sani Mahdi Sahar, 25, bekas pengajar Al-Quran yang kini menganggur selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah semasa sebutan semula kesnya hari ini.
Hakim Azman berkata hukuman penjara yang lebih tinggi kali ini diharap dapat menyedarkan tertuduh, yang pernah menjalani hukuman penjara 18 bulan sebelum ini tidak memberi kesan seolah-olah seperti hanya digigit semut.
“Hukuman ringan (sebelum ini) seperti kesan digigit oleh semut sahaja, yang mana tidak boleh menyedarkan kamu dan masyarakat luar bahawa pentingnya untuk tidak mengulangi perbuatan berunsur keganasan. Saya harap dengan hukuman kali ke-2 ini kamu lebih menginsafi, memberi kesan kepada kamu dan masyarakat akan bahaya memiliki bahan, melakukan dan menyokong keganasan,” katanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 3 tahun bagi pertuduhan pertama dan ke-3 iaitu memiliki 5 helai baju T berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.
Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara 3 tahun bagi pertuduhan ke-2 iaitu memiliki item termasuk gambar, video dan e-majalah yang berunsur perbuatan keganasan.
Hakim Azman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan ke-3 secara serentak bermula dari tarikh tangkap 23 Disember 2017 manakala bagi pertuduhan ke-2, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu selepas dia selesai menjalani hukuman bagi pertuduhan pertama dan ke-3.
Pada 26 Jun lepas tertuduh mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dilakukan di hadapan pintu masuk Blok 3, Apartment Desa Mentari dan di rumah No B3-14-23, Apartment Desa Mentari, Jalan PJS 5/12, Petaling, antara 5.15 petang dan 5.30 petang, 23 Disember 2017 mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item itu.
Terdahulu ketika rayuan, peguam Nurain Sakina Zakri yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dijatuhi hukuman penjara singkat dengan alasan perbuatan tertuduh memiliki baju T yang dibeli di pasar “uptown” itu hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk menyebar atau mempengaruhi kegiatan keganasan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias bagaimanapun memohon hukuman penjara yang panjang bagi memberi pengajaran kepada tertuduh mengambil kira tertuduh sebenarnya menempah khas kelima-lima baju T berunsur keganasan itu.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis menahan tertuduh yang ketika itu memakai baju T berunsur keganasan di hadapan pintu masuk Apartment Desa Mentari.
Pemeriksaan lanjut menemui telefon bimbit tertuduh yang didalamnya mengandungi 29 buah jilid majalah propaganda perjuangan pengganas IS dalam format PDF, 143 keping gambar dan 23 siri video yang mempunyai kaitan dengan IS.
Penggeledahan di dalam bilik tertuduh di apartment itu juga menemui 4 helai lagi baju T berkaitan keganasan.
Pada 24 Mac 2016, di Mahkamah Tinggi berlainan, Muhammad Sani Mahdi dihukum penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah memiliki 39 item rakaman video yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas.