Barang basah masih mahal, restoran mamak tak cadang turun harga

Barang basah masih mahal, restoran mamak tak cadang turun harga

Selain barang basah yang mahal, restotan mamak terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan kos sewa kedai dan pengurusan pekerja.

Free Malaysia Today
Tidak semua makanan di restoran mamak dinaikkan harga selepas GST berkadar sifar.
PETALING JAYA:
Pengusaha restoran mamak berkata tidak semua rangkaian restoran berkenaan menaikkan harga selepas penguatkuasaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar 1 Jun lalu.

Abdul Razak Mohd Habib, 46, pengusaha restoran mamak Al-Menar berkata sukar untuknya menurunkan harga makanan yang dijual disebabkan harga barang basah masih mahal.

Free Malaysia Today
Senarai harga makanan di Restoran Al-Menar masih tidak berubah walaupun GST disifarkan.

“Kita lihat ayam sebelum GST berharga RM5 ke RM6.50. Selepas GST ada harga RM7.50.

“Selepas GST berkadar sifar, harga barang basah lain seperti daging dan sayur pun sama, dan ada yang naik harga,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata faktor lain menyebabkan restoran mamak menaikkan harga makanan adalah disebabkan kos sewa kedai dan pengurusan pekerja.

Katanya, ada restoran mamak yang menyewa kedai mereka RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

“Jadi, macam kawasan kami ini tidak mahal sangat. Sewa kedai RM4,500 sebulan.

“Dan kedai kami berdekatan bengkel kereta yang banyak, jadi ada banyak pelanggan tetap di restoran saya. Jadi harga tetap tidak ada kenaikan. Ada GST atau tidak, harga sama,” katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati 30% restoran mamak di seluruh negara menaikkan harga makanan selepas penguatkuasaan GST berkadar sifar.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu diperolehi hasil tinjauan kementeriannya melalui perbandingan harga makanan di premis terbabit sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar itu.

“Kami dapati harga makanan di 30% kedai mamak telah berlaku kenaikan harga, manakala 70% yang lainnya menyaksikan penurunan,” katanya.

Seorang lagi pengusaha restoran mamak, Ibrahim Yaakob Hassan, 40, berkata harga di restorannya masih sama dan tidak berlaku kenaikan harga.

Bagaimanapun, beliau akui ada restoran mamak yang menaikkan harga selepas GST disifarkan.

“Betul ada kedai mamak yang menaikkan harga misalnya roti canai kosong dijual harga RM1.40. Sedangkan harga standard RM1.20 sekeping,” katanya.

Ibrahim juga mengakui barang basah seperti daging import juga dijual dengan harga mahal seperti RM19 sekilo menyebabkan mereka sukar menurunkan harga makanan di restoran.

“Saya belum ada rancangan nak turunkan harga makanan di restoran saya. Kita mahu lihat dulu harga barang basah masih mahal atau tidak,” katanya.

Manakala Pengurus Restoran Bilal Bistro Nan Corner, Syabir Mohd Shini Kadir, 40, berkata beliau tidak mempunyai perancangan untuk menurunkan harga makanan di restorannya.

Free Malaysia Today
Pengurus Restoran Bilal Bistro Nan Corner, Syabir Mohd Shini Kadir tidak mempunyai perancangan untuk menurunkan harga makanan di restorannya.

Katanya, harga masih sama dan sewaktu ada GST, harga makanan direstorannya tidak dinaikkan.

“Kita masih sama, cuma mungkin saya boleh lihat balik harga makanan yang dijual, jika kerajaan mengkaji semula harga barang basah dan kering untuk diturunkan harga,” katanya.

 

Menteri: 30% restoran mamak naikkan harga selepas GST 0%

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.