
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, ini adalah kali pertama pemerhati badan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan memasuki pusat mengundi.
Katanya, pemerhati itu akan dibahagikan ke 19 pusat mengundi.
“Kawasan yang pemerhati dibenarkan masuk termasuk stesen mengundi dan pengiraan undi serta pusat pencalonan.
“Ini adalah kali pertama kami dipelawa mengadakan perbincangan terbuka dengan wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan proses pilihan raya.
“Ini ialah langkah besar untuk masyarakat awam dan SPR sendiri. Sebelum ini, kami hanya ‘bercakap’ dengan mereka melalui media. Respons hanya datang dalam bentuk kenyataan.”
Walaupun permintaan Bersih untuk meletakkan 109 pemerhati ditolak, katanya, ia boleh diterima kerana NGO lain mungkin menghantar pemerhati mereka juga.
“SPR beritahu mereka hanya membenarkan 38 pemerhati dari Bersih kerana mereka perlu memenuhi (permintaan) NGO lain.
“Jika perlu, kami mungkin bekerjasama dengan NGO lain seperti IDEAS (Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi) dan Invoke bagi mencapai perwakilan terbaik di setiap pusat mengundi.”
Ditanya syarat ditetapkan SPR, Shahrul berkata, pemerhati tidak dibenarkan membuat kenyataan umum ketika proses pengundian dijalankan.
“Ini untuk memastikan pengundi tidak terasa takut atau tertekan ketika proses pengundian.
“Istilah ini belum dimuktamadkan dan kami akan pastikan mereka tidak menyekat pemerhatian kami.”
Shahrul berkata, pemerhati juga dibenarkan menemubual pegawai pusat mengundi.
Ini adalah PRK pertama di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.