Menteri: 30% restoran mamak naikkan harga selepas GST 0%

Menteri: 30% restoran mamak naikkan harga selepas GST 0%

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, pihaknya giat mengenal pasti restoran yang masih degil menurunkan harga makanan.

Free Malaysia Today
Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil tinjauan kementeriannya melalui perbandingan harga makanan sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar mendapati 70% kedai mamak sudah menurunkan harga. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati 30% restoran mamak di seluruh negara menaikkan harga makanan selepas penguatkuasaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar 1 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu diperolehi hasil tinjauan kementeriannya melalui perbandingan harga makanan di premis terbabit sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar itu.

“Kami dapati harga makanan di 30% kedai mamak telah berlaku kenaikan harga, manakala 70% yang lainnya menyaksikan penurunan.

“Oleh itu, kami kini giat mengenal pasti restoran yang masih degil untuk tidak menurunkan harga makanan,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian pertamanya sejak dilantik sebagai menteri hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, hasil tinjauan juga memerlukan kementerian memikirkan tindakan bersesuaian, memandangkan penguatkuasaan di kementerian itu banyak menggunakan pendekatan mendidik berbanding mendenda peniaga.

“Untuk kesalahan pertama kita akan nasihat, asalkan tiada pelanggaran undang-undang secara berlebihan. Sekiranya kesalahan terbabit berulang, barulah tindakan tegas akan diambil.”

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya sedang merangka dasar pembaziran sifar yang merangkumi polisi mengurangkan ketirisan subsidi barangan keperluan pengguna.

“Dasar terbabit turut mengandungi polisi bank makanan, iaitu pasar raya akan mengagihkan lebihan barangan keperluan pengguna kepada golongan sasaran.

“Kami harap dengan adanya dasar ini, program (bank makanan) akan disertai pasar raya atau gedung terkemuka untuk sama-sama membantu golongan memerlukan.”

Menurutnya, polisi itu dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Singapura dan ia boleh dilaksanakan di Malaysia selepas diubah mengikut kesesuaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.