Terima kasih Dr M, kerajaan Malaysia, kata Zakir Naik

Terima kasih Dr M, kerajaan Malaysia, kata Zakir Naik

Zakir Naik mahu menjadi sebahagian daripada kepelbagaian kaum di negara ini dan peka dengan sensitiviti yang diperlukan.

Free Malaysia Today
Zakir Naik berkata ada pihak menggunakan rakaman video, memetik ucapannya di luar konteks dan pelbagai rancangan jahat untuk menuduhnya terlibat dalam keganasan, ucapan provokasi dan pengubahan wang.
PETALING JAYA:
Penceramah kontroversi Zakir Naik mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkannya tinggal di negara ini selagi beliau mematuhi undang-undang dan menyokong keamanan.

Beliau yang disiasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan penyebaran ekstremisme berkata keputusan itu mengukuhkan lagi keyakinannya bahawa Malaysia meraikan kepelbagaian kaum.

“Saya dengan rendah hati akan menjadi sebahagian daripada kepelbagaian kaum ini, dan saya juga mengakui sensitiviti yang diperlukan.

“Saya tidak berhasrat mengganggu atau menjejaskan keseimbangan ini dengan cara apa sekalipun, atau melanggar undang-undang negara ini, kerana itu adalah keprihatinan utama saya untuk memupuk keharmonian sosial yang kini dinikmati warganya,” kata Zakir dalam satu kenyataan.

Beliau yang mengharapkan keadilan dan kedamaian yang sama di negaranya berkata beliau terhutang budi kepada Malaysia yang bukan hanya memberi layanan yang adil, tetapi meraikannya sebagai individu yang cintakan perikemanusiaan.

“Saya berdoa agar Allah terus memberkati Malaysia dan pemimpinnya yang berani, Tun Dr Mahathir.”

Sebelum ini Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan mengusir Zakir selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

“Selagi dia tidak menimbulkan sebarang masalah, kita tidak akan mengusirnya kerana dia sudah diberikan status penduduk tetap,” katanya.

Semalam, beliau juga berkata kerajaan tidak perlu mudah tunduk kepada desakan berhubung isu Zakir kerana perlu mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk undang-undang.

“Kita tidak selalunya terpaksa ikut kehendak orang lain, kita kena tentukan sebab-sebab kita respon kepada mana-mana desakan sama ada dia (Zakir) mengikut undang-undang ataupun tidak. Kalau tidak, ada orang akan jadi mangsa.”

Mengulas lanjut, Zakir berkata kebelakangan ini terdapat beberapa media ‘menyerangnya’ dengan dakwaan beliau menyebarkan hasutan bagi keganasan, walaupun sebenarnya ia bertujuan menyerang Islam dan umatnya.

“Tidak menemui apa-apa bukti terhadap saya, mereka menggunakan rakaman video, memetik ucapan saya di luar konteks dan pelbagai rancangan jahat untuk menuduh saya terlibat dalam keganasan, ucapan provokasi dan pengubahan wang.

“Selalunya penipuan ini disebarkan dalam bentuk gambar yang memaparkan mesej yang dilampirkan dengan gambar saya,” katanya yang turut berpesan kepada orang ramai agar mengesahkan mesej tersebut sebelum membuat kesimpulan.

Kerajaan tak perlu tunduk desakan ekstradisi Zakir Naik, kata PM

Dr M: Kerajaan tak usir Zakir Naik selagi beliau tak cetus masalah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.