Saya tak bersendirian walau disiasat, kata Fadiah

Saya tak bersendirian walau disiasat, kata Fadiah

Fadiah berkata dia menerima beratus-ratus mesej menyatakan sokongan.

KUALA LUMPUR:
Fadiah Nadwa Fikri yang disoal siasat selepas didakwa mempersoalkan institusi diraja hari ini berkata beliau tidak berseorangan semasa berdepan tindakan undang-undang.

Peguam itu hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Brickfield bersama peguam Ragunath Kesavan, Farhana Halim dan Quratul Ain dan masuk 4.00 petang tadi untuk disoal siasat.

Dia disambut oleh 50 aktivis daripada badan-badan NGO seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4), dan Parti Sosialis Malaysia di luar balai polis hari ini.

Sebelum masuk disoal siasat, Fadiah berkata dia menerima beratus-ratus mesej menyatakan sokongan dan seterusnya membidas siasatan ini.

“Kata negara demokrasi tetapi pihak berkuasa kebal tidak boleh terima kritikan dan rampas hak bersuara…kalau kita tak suara bila lagi?” katanya.

Fadiah disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana satu artikel yang disiarkan di satu blog 9 Julai lepas, yang didakwa mempersoalkan institusi diraja.

Artikel itu dikatakan mengulas pertemuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini.

Artikel itu mengundang kecaman daripada Perkasa dan Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.