
Beliau berkata Jho Low ketika itu mungkin boleh mencabar penahanannya di mahkamah yang akan memberinya tempoh masa sehingga setahun sebelum kes didengari.
“Permintaan daripada kerajaan harus dipatuhi sekiranya notis merah dikeluarkan. Polis negara asing perlu menangkapnya apabila ditemui. Masalahnya Jho Low mungkin boleh memfailkan permohonan ke mahkamah untuk mencabar permohonan menyerahkan dirinya kepada kerajaan Malaysia.
“Berapa cepat kes itu didengari bergantung kepada sistem kehakiman di China tetapi ia mungkin mengambil masa setahun kecuali Jho Low secara suka rela bersetuju untuk pulang,” katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan polis Macau mengesahkan menerima permintaan daripada pihak berkuasa Malaysia meminta Jho Low ditahan tetapi belum menentukan langkah seterusnya.
Sankara berkata Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi atau Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama dengan China dan oleh itu permohonan boleh dibuat atas dasar hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Jho Low mungkin mahu mencabar penangkapan itu supaya dia tak perlu pulang. Jika polis luar negara menangkapnya, dia mungkin ditahan atau dilepaskan dengan ikat jamin sementara kes mahkamah berjalan,” kata Sankara.
Beliau berkata kerajaan China boleh menyerahkan Jho Low kepada Malaysia jika undang-undang negara itu tidak membenarkan ekstradisi dicabar atau melalui hubungan 2 hala di mana Malaysia boleh meminta Kementerian Luar Negeri China menyerahkan orang itu.
Macau ialah wilayah khas China dan tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara luar.
Jho Low ialah watak utama dalam skandal 1MDB. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam tuntutan sitaan sivil mendakwa ahli perniagaan itu terlibat dalam banyak peristiwa di mana dana 1MDB didakwa digelapkan.