Keputusan permohonan Shafie batal saman Musa September ini

Keputusan permohonan Shafie batal saman Musa September ini

Jika mahkamah membenarkan permohonan Shafie Apdal membatalkan saman itu, Musa Aman selaku plaintif akan membuat rayuan.

Free Malaysia Today
Pengerusi BN Sabah Musa Aman memfailkan saman terhadap Juhar Mahiruddin dan Shafie Apdal berhubung jawatan ketua menteri Sabah yang sah.
KOTA KINABALU:
Mahkamah Tinggi menetapkan 3 September depan bagi membuat keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal untuk membatalkan saman bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikannya sebagai ketua menteri Sabah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujah daripada peguam yang mewakili kedua-dua pihak pada prosiding pengurusan kes itu, hari ini.

Shafie diwakili peguam Datuk Douglas Lind manakala Musa diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad.

Bercakap kepada pemberita, Tengku Fuad berkata sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Shafie untuk membatalkan kes saman itu, pihak Musa selaku plaintif akan membuat rayuan.

Bagaimanapun, jika permohonan Shafie itu ditolak, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan kes saman Musa terhadap Mohd Shafie untuk didengar di mahkamah, katanya.

Pada 5 Jun, Shafie memohon bagi membatalkan saman oleh pendahulunya, iaitu Musa atas alasan Musa tidak mempunyai sebab munasabah untuk mencabar pelantikannya sebagai ketua menteri pada 12 Mei.

Pada 6 Jun, Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah memfailkan saman baharu terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie bagi menggantikan saman yang difailkan 17 Mei lepas, memohon pengisytiharan Musa kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

Shafie tak takut saman Musa berhubung jawatan ketua menteri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.