3 lagi mangsa terperangkap dalam gua di Thailand dibawa keluar

3 lagi mangsa terperangkap dalam gua di Thailand dibawa keluar

Mangsa pertama dikeluarkan kira-kira 4.45 petang (waktu tempatan) disusuli 2 lagi mangsa pada 6.20 petang dan 6.30 petang.

Free Malaysia Today
Seorang mangsa diterbang ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai, manakala 2 lagi menerima rawatan daripada tentera sebelum diterbang ke hospital. (Gambar Reuters)
BANGKOK:
Media tempatan mendakwa operasi menyelamat besar-besaran berjaya membawa keluar dengan selamat 3 lagi kanak-kanak lelaki dari kompleks gua yang ditenggelami air di Mae Sai, Chiang Rai hari ini, menjadikan jumlah remaja diselamatkan setakat ini kepada 7 orang.

Memetik sumber dari pasukan penyelamat, ia berkata kanak-kanak lelaki pertama dibawa keluar dari gua Tham Luang kira-kira 4.45 petang (waktu tempatan) dan diterbangkan ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai untuk mendapatkan rawatan segera.

Dua lagi kanak-kanak lelaki diselamatkan secara berturut-turut dan dibawa keluar oleh pasukan penyelamat pada 6.20 petang dan 6.30 petang (kedua-dua waktu tempatan), menurut media tempatan.

Kedua-dua mereka kini menerima rawatan daripada anggota tentera yang ditempatkan berhampiran gua itu dan dijangka diterbangkan ke hospital wilayah tidak lama lagi.

Tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai operasi menyelamat 3 lagi anggota Akademi Bola Sepak Mu Pa buat masa ini walaupun bekas Gabenor Chiang Mai, Narongsak Ossothanakorn dijangka mengadakan sidang media lewat malam ini untuk taklimat harian.

Empat orang kanak-kanak lelaki dibawa keluar dengan selamat dari gua itu pada petang Ahad.

Enam lagi anggota pasukan bola sepak itu masih terperangkap dalam gua tersebut.

Dua belas kanak-kanak lelaki itu, berusia 11 hingga 25 tahun bersama jurulatih mereka dari Akademi Bola Sepak Mu Pa telah terperangkap dalam gua itu selama 17 hari.

4 kanak-kanak berjaya keluar gua di Thailand dalam keadaan baik

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.