
Felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Faisal Musa berkata, pengikut Ahmadiah juga sama seperti manusia lain yang mempunyai hak asasi masing-masing.
“Hak asasi manusia berfungsi untuk melindungi manusia dan bukannya kepercayaan. Saya ulangi, manusia. Ini bermakna hak asasi tidak hadir untuk menyatakan mana kepercayaan yang benar atau tidak benar.
“Hal benar atau tidak sesuatu anutan, tiada dalam debat hak asasi manusia. Yang jelas ialah mereka manusia dan mempunyai hak untuk berfikir, menganut dan bertindak-tanduk,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam penghakiman bersejarah berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tiada hak menghalang aktiviti keagamaan komuniti Ahmadiah di negeri itu.
Seramai 39 pengikut Ahmadiah dalam permohonan semakan kehakiman mereka mencabar Jais kerana cuba mendakwa mereka dengan kesalahan syariah, atas dasar pihak berkuasa agama Islam di Selangor tidak mengiktiraf Ahmadiah sebagai orang Islam.
Hakim berkata, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 2001 mengisytiharkan pengikut Ahmadiah sebagai sesat dan Jais tiada bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka atas kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Islam Negeri.
Pengikut Ahmadiah yang juga digelar Qadiani, berbeza dalam beberapa perkara dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, antaranya mempercayai pengasas fahaman itu, Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi.
Faisal yang merupakan novelis menggunakan nama pena Faisal Tehrani mencadangkan pihak berkaitan mengadakan dialog dengan pengikut Ahmadiah untuk lebih memahami golongan minoriti itu.
“Sebagai warganegara yang ikut mengundi, mereka ada suara yang sama dengan semua rakyat lain. Sudah tiba masanya untuk berdialog dengan minoriti itu dan memahami mereka.
“Saya anjurkan berdialoglah untuk mengerti, bukan untuk memenangi,” kata penerima Anugerah Seni Negara daripada kerajaan pada 2006 itu.
Tujuh buku tulisan Faisal diharamkan kerajaan terdahulu kerana dianggap “ancaman kepada keselamatan negara” dengan 4 daripada novelnya diharamkan atas alasan mengandungi unsur Syiah, mazhab yang dianggap “sesat”.
Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri ke atas 4 buku tulisan Faisal kerana melanggar hak kebebasan bersuara penulis.
Penulisan revisionis Faisal tentang sejarah dan budaya Melayu tidak diterima ulama arus perdana.
Mufti Pulau Pinang sambut baik keputusan mahkamah ke atas Ahmadiah
Ahmadiah bukan Islam, Mahkamah Syariah tiada kuasa, kata Mujahid