
Mereka meninggalkan pangsapuri mewah di daerah Admiralty, Hong Kong, yang menghadap pelabuhan, minggu lalu untuk ke Macau.
Akhbar terkemuka Hong Kong, South China Morning Post (SCMP) pada Jumaat melaporkan Low mungkin memohon suaka.
Malam tadi, akhbar itu melaporkan Low dan keluarganya dipercayai masih berada di Macau.
Semalam, media lain melaporkan beliau mungkin sudah meninggalkan Macau.
Low dikehendaki pihak berkuasa Malaysia atas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit dana dikaitkan dengan 1MDB milik kerajaan.
SCMP melaporkan Low tinggal di Hong Kong selama “beberapa bulan”, menurut sumber tidak dinamakan.
“Beliau tinggal di sebuah pangsapuri di Pacific Place dengan keluarga dan rombongannya,” menurut laporan itu.
Sumber itu berkata, Low menyewa beberapa unit di tingkat 32, 34 dan 36 Pangsapuri Pacific Place di Admiralty, dengan sewa bulanan antara AS$10,700 hingga AS$30,000.
“Mereka meninggalkan Pacific Place dan ke Macau beberapa hari lalu, walaupun Interpol mempunyai notis merah ke atas Low.”
Interpol mengeluarkan notis merah atas permohonan Malaysia untuk mengesan dan menahan seseorang sementara menunggu individu itu diekstradisi.
Bagaimanapun, SCMP memetik sumber sebagai berkata, Hong Kong tidak mengambil tindakan menahan Low kerana tiada permohonan rasmi dari Malaysia atau Singapura.
Satu lagi sumber berkata, Malaysia menandatangani perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan Hong Kong, tetapi bukannya Macau.
“Polis Hong Kong tiada kewajipan menahannya, walaupun ada notis merah Interpol. Satu-satunya kewajipan ialah jika ada permohonan rasmi dari negara asal, tetapi tiada.”
SCMP melaporkan pihak berkuasa Hong Kong dan Macau tidak akan mengulas sama ada Low berada di Macau.
“Khabar angin mengatakan beliau sedang atau pernah menghabiskan masa di Macau, tersebar lebih sebulan lalu.
“Bagaimanapun, beliau tidak boleh tinggal di Macau lebih 30 hari dan jika beliau keluar dan masuk semula, kerajaan akan menghalangnya pada kali ke-3 beliau memasuki bandar itu.”
Menurut laporan itu, satu-satunya pilihan Low ialah mengemukakan permohonan suaka.