Kebakaran tahfiz KL: Keluarga sepakat bahagi sumbangan

Kebakaran tahfiz KL: Keluarga sepakat bahagi sumbangan

Keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat memutuskan 70% sumbangan orang ramai diagihkan kepada waris mangsa dan baki 30% lagi kepada sekolah itu.

Free Malaysia Today
Mohd Zamzuri Zakaria (dua, kiri). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat di sini sepakat 70% wang sumbangan orang ramai diagihkan kepada waris mangsa yang terkorban dan cedera, manakala baki 30% lagi kepada pusat tahfiz berkenaan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tahfiz Malaysia (Pertama), Zamzuri Zakaria yang kehilangan anaknya, Muhammad Aidil Aqmal, 10, dalam tragedi itu, berkata jumlah agihan tersebut merupakan janji pertama pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood selepas kejadian itu.

“Mesyuarat pada hari ini diadakan bagi mendapatkan persetujuan berhubung kaedah pembahagian wang sumbangan itu dan kata putus hari ini akan dibawa ke perbincangan antara waris dan pihak pengurusan pusat tahfiz sebelum diuruskan pihak peguam,” katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat itu hari ini.

Kebakaran yang berlaku pada 14 September 2017 itu mengorbankan nyawa 21 pelajar dan 2 tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan.

Dua remaja lelaki berumur 16 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian mereka.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertama, Hartini Abd Gani berkata, mesyuarat hari ini adalah susulan perintah injunksi interim yang dikeluarkan mahkamah pada 6 Julai lalu yang tidak membenarkan sebarang transaksi dibuat terhadap akaun sumbangan sehingga 30 Julai nanti.

“Ia bagi membuka ruang perbincangan antara waris dan pihak pengurusan pusat tahfiz mengenai kaedah pembahagian wang derma. Kami mahu urusan ini diselesaikan secara baik dan tidak mahu lagi timbul sebarang isu mengenai wang sumbangan ini.”

Hartini yang kehilangan anaknya, Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan, turut kesal atas tindakan beberapa pihak yang mendakwa waris tamak wang sumbangan kerana tuduhan itu menjejaskan emosi keluarga terlibat.

Sebelum ini, Zahid dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan proses pengauditan wang sumbangan kepada waris mangsa yang meninggal dan cedera dalam kejadian itu sudah selesai dan akan diagihkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Beliau bagaimanapun tidak tahu jumlah sebenar sumbangan, namun menganggarkan ia melebihi RM7.6 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.