
Mohammad Faisol Abd Rahman berkata, Ismail yang juga adik bekas menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sudah ditolak PPBM dan beliau tidak mahu ada unsur cuci kaki dengan keputusan Ismail menyertai PKR.
“Kenapa baru sekarang nak keluar dari Umno? Sikap ini tidak ubah seperti membeli ‘insurans perlindungan diri’,” katanya dalam kenyataann hari ini.
Pada 19 Jun lalu, Ismail mengumumkan keputusannya meninggalkan BN kerana hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti itu dan berkata beliau mula mempertimbangkan untuk keluar BN sejak pilihan raya umum ke-12 pada 2008.
Keesokannya, Ketua PH dan PPBM Perlis, Amier Hassan dilaporkan berkata pihaknya keberatan menerima bekas ahli Umno seperti Ismail.
Beliau berkata, pihaknya membuka pintu kepada orang kebanyakan dan ahli Umno terpilih, tetapi tidak mahu mengimport bekas pemimpin Umno kerana bimbang mereka akan mencemarkan parti.
Hari ini, Ismail dilaporkan berkata, setiausaha PH Kedah mempelawanya menyertai PKR dan beliau menghantar borang penyertaan kepada PKR kerana tertarik dengan cara parti itu diurus tadbir dan tidak melihat banyak saingan serta ancaman kepada mana-mana pihak dalam parti di negeri itu.
Difahamkan, Ismail memutuskan untuk menyertai PKR Kedah di Pokok Sena, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas daripada pucuk pimpinan PKR negeri itu dan pusat.
Faisol berkata, PKR Perlis menentang keputusan Ismail menyertai parti itu yang dilihat tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada masa depan negara.
“Sudah cukup negara ini dicemari pelbagai salah laku sebelum ini.
“Hari ini PH di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa berhempas pulas memulihkan negara dari kekotoran yang ditinggalkan BN.”