Sanjeevan dilepas tanpa bebas dakwaan hina bekas ketua polis negara

Sanjeevan dilepas tanpa bebas dakwaan hina bekas ketua polis negara

Majistret membuat keputusan itu kerana bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar gagal hadir memberi keterangan dalam kes itu untuk kali ke-3.

Free Malaysia Today
Sanjeevan dilepaskan daripada pertuduhan menghina Khalid Abu Bakar dan seorang lagi individu menerusi Facebooknya, tahun lepas.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan menghina bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan seorang lagi individu menerusi Facebooknya, tahun lepas.

Majistret, Mahyudin Mohmad Som membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hafizza Sauni memaklumkan saksi utama, iaitu Khalid gagal hadir untuk kali ke-3 bagi memberi keterangan dalam kes itu.

Dalam prosiding 6 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh akhir untuk pihak pendakwaan memastikan kehadiran Khalid.

Tiga saksi pendakwaan dipanggil sejak tarikh pertama perbicaraan pada 9 Januari 2018.

Pada 11 Oktober 2017, Sanjeevan didakwa sengaja menyiarkan tohmahan menerusi Facebook terhadap bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dan Khalid sebagai bekas ketua polis negara dengan niat merosakkan nama baik mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 11, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 8.30 pagi 3 Januari 2016.

Bagi kesalahan itu, dia yang diwakili peguam, S Preakas didakwa mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menerusi Seksyen 500 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.