
Cadangan itu antara beberapa syor dikemukakan Presiden PRIMAS, T Muthusamy dalam perjumpaan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham hari ini, berhubung isu itu.
Menurut Muthusamy, dasar kerajaan mengutamakan pekerja tempatan dan mengurangkan jumlah pekerja asing menimbulkan masalah kepada pengusaha kedai makan tempatan dengan ada antara mereka dijangka menutup operasi berikutan kekurangan pekerja.
“Industri berhadapan kekurangan pekerja khususnya di restoran India yang masalah kekurangan itu amat teruk,. Kami lihat banyak yang tutup kedai, mengecilkan jumlah pekerja dan ada antara mereka mengurangkan waktu operasi berikutan kekurangan pekerja.
“Saya berada di sini untuk meminta kerajaan mencari mekanisme baru, permudahkan proses dan mengurangkan kos pengambilan pekerja asing dalam usaha membantu kedai makan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu.
Muthusamy berkata pada masa ini pemilik kedai makan perlu melalui proses rumit untuk memenuhi syarat ditetapkan kerajaan.
“Ini adalah masalah besar, PRIMAS menerima 10 hingga 15 panggilan setiap hari daripada anggota yang mengadu dan bertanyakan tentang bagaimana untuk mendapatkan kelulusan. Pada ketika ini majoriti anggota kami berdepan dengan purata 40-50% kekurangan jumlah pekerja,” katanya.
Beliau berkata pemilik juga mencari alternatif dan cuba mengambil pekerja tempatan dengan mengiklankan kerja kosong tetapi rakyat tempatan dilihat tidak berminat.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Tan Sri Azman Shah Haron berkata kerajaan perlu melakukan penstrukturan semula dan menambah baik dasar buruh bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri.
“Pada masa ini, dasar berkenaan tidak jelas dan tidak sepadu, ia perlu tetap bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan majikan, pekerja, pekerja asing dan terdapat pihak yang mengambil kesempatan daripada keadaan itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata mereka mencadangkan kepada CEP bagi penggunaan tenaga kerja berusia (pesara) dan dasar pengambilan pekerja berumur sehingga 65 tahun.
“Ini bermakna individu yang akan bersara pada usia 60 tahun boleh terus bekerja jika gunakan umur 65 tahun sebagai penanda aras. Dengan itu akan terdapat tambahan 1 juta pekerja berusia 60 ke atas untuk terus bekerja.
“Bagi tenaga kerja wanita, kini terdapat kira-kira 51%, jika ditingkatkan penyertaan, dengan itu akan terdapat tambahan 1 juta juga. Pendek kata akan terdapat tambahan 2 juta tenaga kerja yang ketika ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat Malaysia tidak sepatutnya dibayar gaji minimum, tetapi perlu dibayar gaji mengikut kemahiran mereka.
“Jika seseorang itu memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, dia tidak sepatutnya dibayar gaji minimum sepertimana pekerja asing, dia sepatutnya dibayar RM1,300. Begitu juga dengan pemilik SKM Tahap 4 atau lebih tinggi, mereka patut dibayar gaji lebih tinggi,” katanya.
Ketika ditanya reaksi anggota CEP terhadap cadangan berkenaan, Shamsuddin berkata mereka menyambut baik syor berkenaan tetapi akan menyerahkan kepada pihak industri dan berkepentingan untuk mengadakan perbincangan supaya kerajaan dapat diberikan taklimat sepenuhnya tentang apa yang diperlukan.