2 lelaki ditahan dalam penipuan bitcoin RM1.3 juta

2 lelaki ditahan dalam penipuan bitcoin RM1.3 juta

Sekurang-kurangnya 650 orang menjadi mangsa mereka, termasuk seorang individu bergelar 'Datuk Seri'.

LABUAN:
Polis Labuan menahan 2 lelaki yang dipercayai dalang di sebalik penipuan bitcoin melibatkan kerugian kira-kira RM1.3 juta, membabitkan sekurang-kurangnya 650 mangsa termasuk seorang orang kenamaan bergelar “Datuk Seri”.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Muhamad Farid Ahmad berkata kedua-dua suspek berusia 24 dan 54 tahun itu diberkas dalam 2 operasi berasingan di sini, pada 25 Jun lalu.

Penipuan itu yang dijalankan sejak Februari lalu dipercayai didalangi suspek warga tempatan berusia 24 tahun dari Menumbok dan dibantu lelaki warga Indonesia berusia 54 tahun menerusi syarikat yang baru ditubuhkan Global Mining Pro.

Farid berkata, berdasarkan siasatan polis, modus operandi mereka menyerupai konsep pemasaran pelbagai peringkat, MLM dengan menjanjikan pulangan tinggi sehingga 85%.

“Setiap ‘pelabur’ tidak perlu menunggu lama untuk mendapat pulangan dengan pelaburan minimum RM1,800 akan matang pada bulan berikutnya dan menerima pulangan 77% atau RM1,300, manakala pelaburan maksimum RM37,000 dengan pulangan 85% atau RM33,000,” katanya hari ini.

Beliau berkata, ‘pelabur’ diberi kontrak pelaburan 5 hingga 10 tahun.

Menurutnya, kes itu terbongkar susulan laporan polis dibuat 2 mangsa yang masing-masing kerugian RM193,000 dan RM10,000.

“Kami turut merampas 3 keping cek keseluruhan bernilai RM444,450, kad ATM, cap syarikat, satu buku cek dan telefon bimbit daripada seorang suspek.”

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.