Tinjauan: Ahli politik paling kurang dipercayai

Tinjauan: Ahli politik paling kurang dipercayai

Tinjauan dalam talian oleh satu badan pemikir mendapati hanya 16% responden percayakan ahli politik.

KUALA LUMPUR:
Apakah sifat paling penting yang perlu ada pada seorang ahli politik? Kira-kira 72% rakyat yang terlibat dalam satu tinjauan berkata kejujuran.

Tinjauan 1,000 orang oleh Centre for a Better Tommorrow (Cenbet) mendapati rakyat paling tidak mempercayai ahli politik dalam kalangan 8 institusi dan entiti dalam tinjauan itu.

Hanya 16% responden mempercayai mereka.

Tinjauan mendapati media dalam talian lebih dipercayai berbanding media arus perdana kerana ia dilihat lebih bebas melaporkan isu.

Cenbet dalam kenyataan berkata: “Media dalam talian alternatif lebih dipercayai iaitu pada 31% berbanding penerbitan cetak tradisional (23%).”

Sebab utama media arus perdana tradisional tidak dipercayai ialah “akhbar tidak bebas membuat laporan tanpa campurtangan”, menurut 64% responden.

Kritikan utama terhadap media dalam talian ialah ia dilihat “tidak adil dan menerbitkan berita tidak tepat atau palsu” (57%).

Bagaimanapun, 75% responden yang mempercyai berita dalam talian mengagumi “kebebasan melapor tanpa campurtangan pihak luar”.

Selain kejujuran, responden berkata “dedikasi untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara” sifat penting yang perlu ada pada seorang ahli politik. Kira-kira 68% yang ditinjau berkata demikian.

Tinjauan seluruh negara itu dijalankan awal tahun ini mendapati tahap pendidikan (29%) dan kekayaan peribadi (19%) kurang penting dalam seorang ahli politik.

Presiden bersama Cenbet, Gan Ping Sieu, yang mengeluarkan penemuan itu hari ini berkata: “Sebagai kumpulan yang memperjuangkan ketelusan dan tadbir urus yang baik, kami amat bimbang melihat masyarakat tidak memandang tinggi ahli politik, terutama kebolehpercayaan mereka.”

Kira-kira 45% responden merasakan sistem kehakiman boleh dipercayai, sebabnya mereka meyakini integriti para hakim (55%).

Mereka yang tidak mempercayai mahkamah berkata mereka bimbang hakim tiada integriti (56%).

“Antara komen lain ialah ketiadaan pemisahan kuasa antara badan kehakiman dan kerajaan iaitu campurtangan politik, kawalan dan pengaruh kerajaan,” kata Cenbet.

Tinjauan itu juga mendapati 62% responden merasakan pihak berkuasa tempatan “tidak boleh dipercayai”. Rungutan utama mereka ialah “perkhidmatan yang tidak cekap” (66%) dan “dilihat korup” (47%).

Cenbet berkata 60% yang ditinjau juga tidak mempercayai polis.

“Dilihat korup sebab utama mereka tidak dipercayai (71%) manakala 41% merasakan pasukan itu tiada profesionalisme. Bagi mereka yang mempercayai pasukan itu pula, 51% mengaitkannya dengan kecekapan para kakitangan.”

Institusi yang paling dipercayai ialah tentera iaitu 60%. Kebanyakan responden yang mempercayai institusi itu mengagumi disiplin kakitangan dan mendapati mereka juga terlatih. Bagi mereka yang tidak mempercayai tentera, 47% merasakan tentera berat sebelah dan tidak adil, kata tinjauan itu.

“Dalam soal kebolehpercayaan institusi, tema sepunya ialah keadilan, integriti dan kecekapan. Institusi yang dilihat adil dan cekap mendapat markah lebih tinggi dalam kebolehpercayaan,” kata Gan.

Beliau berkata Cenbet akan membentangkan penemuan terperinci kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi sebagai maklum balas kepada kerajaan yang mahu meningkatkan kepercayaan dan penyampaian institusi-institusi utama.

Cenbet berkata tinjauan dalam talian itu dijalankan mengikut garis panduan dan piawaian Dewan Perniagaan Antarabangsa dan Tata Amalan Esomar. Kedua-dua piawaian itu diterima di seluruh dunia dalam bidang tinjauan pasaran, penyelidikan sosial dan analisis data.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.