Taklimat Syiah dalam kunjungan hormat Asri dipersoal

Taklimat Syiah dalam kunjungan hormat Asri dipersoal

Suhakam dan peguam persoal keperluan polis melakukan taklimat keselamatan sewaktu kunjungan hormat ke pejabat mufti Perlis.

KUALA LUMPUR: Panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas kehilangan aktivis Amri Che Mat dan peguam mempersoalkan keperluan polis melakukan taklimat keselamatan sewaktu kunjungan hormat ke pejabat mufti Perlis.

Peguam mewakili keluarga Amri, Nizam Bashir berkata, polis melakukan persiapan rapi dalam pertemuan dengan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan ia dapat dilihat daripada pembentangan yang dilakukan.

Dalam pembentangan Oktober 2016 itu, didapati beberapa sudut rumah Amri ditayangkan kepada Asri dan beberapa individu lain yang terlibat.

“Apakah keperluan untuk pihak tuan untuk menyediakan pembentangan dalam bentuk Power Point memandangkan ia adalah kunjungan hormat,” katanya sewaktu sesi soal balas dalam siasatan awam kehilangan Amri di Ibu Pejabat Suhakam, hari ini.

Pegawai polis terbabit, bekas penolong pengarah di Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Cawangan Khas, Datuk Awaluddin Jadid bagaimanapun berkata pembentangan dalam kunjungan hormat adalah “perkara biasa”.

Beliau menambah pertemuan itu memang mahu membincangkan isu fahaman Syiah di Perlis.

“Kami hanya bercakap mengenai isu Syiah dan bukannya isu mengenai Amri,” katanya.

Rumah Amri dikunjungi polis dan Asri pada 21 Oktober 2015, setahun sebelum kehilangannya. Beberapa gambar di sudut rumah Amri turut dirakamkan pihak berkuasa.

Menurut Asri, kunjungan itu bagi melihat adakah benar kediaman Amri menjadi tempat penyebaran ajaran Syiah seperti yang didakwa.

Sewaktu gambar kediaman Amri dipaparkan di sidang siasatan awam hari ini, Awaluddin menjelaskan kepada panel Suhakam mengapa rumah aktivis yang hilang itu menarik perhatian pihak berkuasa.

“Ini adalah pusat Syiah di Perlis,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju apabila peguam bertanyakan adakah pembentangan itu menunjukkan dakwaan Cawangan Khas ada terlibat dengan kehilangan Amri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.