
Beliau berkata pihaknya menerima laporan tersebut daripada pihak berkuasa berkaitan semalam dan akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu bukan menjadi mangsa keganasan seksual dan perkahwinan pasangan ini juga tidak dibekalkan sijil nikah oleh Majlis Agama Islam Narathiwat.
“Saya perlu teliti terlebih dahulu laporan tersebut sebelum pendakwaan dilakukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri di Balai Islam Lundang, hari ini.
Katanya pihaknya perlu mengambil kira pandangan syarak selain perundangan negara ini berkaitan kes berkenaan.
“Dua aspek perlu dilihat iaitu menerusi hukum syarak seperti edah orang tidak datang haid dan sudah baligh ataupun belum.
“Kita juga melihat kes ini menerusi sudut perundangan iaitu adakah mendapat kelulusan. Kami juga tidak pasti undang-undang di negara jiran, adakah sama seperti di negara ini yang mengehadkan umur untuk berkahwin,” kata Zaini.
Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan 11 tahun sebagai isteri ke-3nya, tular dalam media sosial apabila ia dikongsi oleh isteri ke-2 lelaki terbabit.
Berikutan itu, pengguna laman sosial pelbagai lapisan masyarakat mengecam tindakan lelaki terbabit yang berasal dari Gua Musang.
Keluarga kanak-kanak perempuan itu yang juga warga Thailand tinggal di Gua Musang dengan mengambil upah menoreh getah.