Genap setahun, keluarga masih tangisi kematian Nhaveen

Genap setahun, keluarga masih tangisi kematian Nhaveen

Ibu Nhaveen mahu 'pelajar gangster' dihantar ke sekolah Henry Gurney manakala keluarga merayu Peguam Negara yang baharu menyediakan pendakwaraya terbaik.

Free Malaysia Today
S Rajalatchmi mendapat pesanan daripada cucunya melalui mimpi.
GEORGE TOWN:
Ahli keluarga mangsa buli, T Nhaveen, masih tidak dapat menerima hakikat kehilangannya walaupun ramai waris yang lain redha dengan kematiannya.

Neneknya, S Rajalatchmi, menangis saat mengenang kembali bagaimana Nhaveen, cucunya yang paling rapat, “dirampas” daripadanya selepas diserang sekumpulan remaja tahun lalu.

“Di manakah keadilan untuk cucu saya? Ia sudah setahun,” kata Rajalatchmi, 63, kepada FMT ketika ditemui di majlis peringatan 1 tahun kematian Nhaveen di flatnya di Gelugor, semalam.

Nhaveen, 17, dibuli dan diseksa sekumpulan remaja berhampiran rumahnya pada 9 Jun tahun lepas. Remaja itu juga didakwa membulinya di sekolah kerana wataknya yang lembut.

Nhaveen diisytiharkan otak mati sebaik sahaja tiba di hospital, dan koma selama 6 hari sebelum meninggal dunia pada 15 Jun.

Empat remaja, termasuk 2 juvana, didakwa atas tuduhan membunuh. Perbicaraan mereka di Mahkamah Tinggi akan diteruskan bulan depan.

Rajalatchmi berkata baru-baru ini Nhaveen muncul dalam mimpinya, memberitahunya bahawa dia “bersama nenek lain yang baru sahaja meninggal dunia”.

“Dia beritahu saya, ‘Saya gembira dengan Tanges paati (nenek). Tolong beritahu ibu supaya tidak menangis. Saya dengar kamu semua menangis setiap hari. Tolong jangan menangis, saya gembira di sini’.

“Kadang-kadang, saya rasa lebih baik jika saya mati bersamanya,” kata Rajalatchmi, yang sebelum ini meletakkan secawan minuman Milo kegemaran Nhaveen di atas meja sembahan termasuk beberapa makanan kegemarannya.

Hantar pelajar bermasalah ke sekolah Henry Gurney

Ibu Nhaveen, D Shanti, berkata selepas kehilangan anaknya, tumpuan beliau kini adalah menyokong polisi di sekolah supaya “pelajar bermasalah” diletakkan di bawah pengawasan tetap.

Free Malaysia Today
Ibu Nhaveen, D Shanti (kiri) dan adiknya Sumathi berkata mereka masih menunggu keadilan atas kematian remaja itu.

Wanita berusia 43 tahun itu berkata ini menimbulkan kebimbangan ibu bapa di mana anak-anak mereka akan menjadi sasaran gangster di sekolah.

“Kita perlukan perubahan segera terhadap sekolah kita. Pelajar agresif mesti dikenal pasti dan dihantar ke sekolah pemulihan seperti sekolah Henry Gurney supaya mereka berubah.

“Sekarang saya dengar sekolah menyediakan kaunseling kepada pelajar yang terlibat dalam gangsterisme, yang agresif dan mempunyai masalah disiplin. Adakah ini akan mengubah apa-apa?”

Shanti yang mengharapkan pembaharuan dari kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan sekolah dapat membanteras masalah buli, berkata guru sekolah harus diberi kuasa untuk melaporkan kes tanpa rasa bimbang dengan tindak balas pelajar.

“Beberapa guru memberitahu kami kisah menakutkan tentang pelajar sekolah memukul guru, atau merosakkan kereta mereka. Ini menunjukkan mereka boleh melakukan apa saja yang mereka suka tanpa rasa takut.

“Saya rasa pegawai polis harus ditempatkan di setiap sekolah supaya pelajar jahat berfikir 2 kali sebelum melakukan apa-apa.”

Sementara itu, ibu saudara Nhaveen, Sumathi Dorairaj mengkritik siasatan pihak berkuasa dalam menyediakan laporan bedah siasat atas kematian anak saudaranya.

Beliau berkata pihak berkuasa mengambil masa 10 bulan untuk menyerahkan laporan itu bersama laporan kimia ujian darah.

“Kami merayu kepada Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas menyediakan kami pendakwaraya terbaik dalam kes ini bagi memastikan keadilan kepada Nhaveen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.