
Peguam hak asasi manusia, Siti Kasim berkata, punca utama perkahwinan kanak-kanak Islam di Malaysia ialah penerimaan terhadap dakwaan bahawa Nabi Muhammad mengahwini salah seorang daripada isterinya pada usia muda, walaupun terdapat cendekiawan Islam yang mempersoalkan kesahihan hadis yang menjadi asas kepercayaan itu.
“Melindungi kanak-kanak mesti dijadikan matlamat utama kerajaan dan tiada fatwa agama atau kepercayaan perlu diambil kira.
“Saya akan terus menggesa kerajaan supaya memulakan naratif baru dalam mengetengahkan ajaran Islam sebenar,” tulis Siti di laman Facebook, berikutan bantahan orang ramai terhadap perkahwinan Masarayu Mat Rashid, 11 tahun dengan seorang penoreh getah berusia 41 tahun di Kelantan.
Ibu bapa kanak-kanak itu yang merupakan warga Thai dan tinggal di Gua Musang mempertahankan perkahwinan tersebut walaupun dikritik aktivis hak asasi kanak-kanak dan pemimpin kerajaan.
Putrajaya berkata ia akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai perkahwinan kanak-kanak, dengan pelbagai kumpulan sivil mendesak kerajaan baru itu meminda segera undang-undang bagi menetapkan umur minimum perkahwinan pada 18 tahun.
Di bawah undang-undang sivil sekarang umur minimum perkahwinan ialah 18, sementara Mahkamah Syariah diberi kuasa membenarkan perkahwinan pada usia 16 atau lebih rendah.
Umur sebenar Khadijah dan Aisyah
Kenyataan Siti Kasim membangkitkan semula perdebatan dalam kalangan cendekiawan dan sejarawan Islam tetang umur sebenar Aisyah dan isteri pertama Nabi Muhammad, Khadijah.
Dikatakan Khadijah berumur 40 tahun sewaktu Nabi, yang berumur 24 tahun, mengahwininya. Beliau kemudian melahirkan 7 anak, tetapi penulis sirah kehidupan Nabi mencabar kepercayaan itu dengan berkata, beliau berumur 28 tahun sewaktu berkahwin dengan Muhammad
Perdebatan sama turut melibatkan umur Aisyah. Sesetengah ulamak tradisional menerima dakwaan beliau berumur 6 tahun pada waktu perkahwinannya dengan Nabi. Beberapa hadis lain, kata-kata yang dikatakan diucapkan oleh Nabi Muhammad dan merupakan asas ajaran Islam, menyebut Aisyah berumur 9 tahun.
Aktivis Islam terkenal, Dr Ahmad Farouk Musa, yang bersetuju dengan Siti Kasim, berkata alasan diberikan pihak yang mempertahankan perkahwinan kanak-kanak tidak bermakna apa-apa melainkan untuk mewajarkan keinginan seksual mereka.
“Tiada standard moral moden dapat membenarkan perbuatan menyokong nafsu melulu ini,” katanya kepada FMT. “Agama ini yang mendakwa mengangkat kedudukan wanita pastilah juga merupakan agama yang menolak eksploitasi ke atas orang miskin dan lemah, serta wanita terdesak dan kanak-kanak bawah umur.
Farouk yang mengetuai pertubuhan Islamic Renaissance Front(IRF) mencabar hujah sesetengah orang Islam yang berkata Islam tidak melarang perkahwinan kanak-kanak bawah umur.
Katanya, ajaran dan undang-undang Islam perlu diamalkan berdasarkan maqasid syariah, iaitu prinsip yang mengambil kira tujuan lebih tinggi agama untuk kebaikan masyarakat.
“Jika ada yang berhujah Sunnah Nabi tidak melarang perkahwinan kanak-kanak bawah umur, maka Sunnah juga tidak melarang kita memiliki hamba.
“Tetapi tujuan agama ini yang lebih tinggi atau maqasid syariah adalah berkaitan dengan kebebasan manusia daripada cengkaman perhambaan dan memuliakan status serta melindungi wanita.
“Jelaslah mengahwini kanak-kanak bawah umur bertentangan dengan maqasid itu,” kata Farouk.