Agensi: TM mampu tanggung pengurangan harga jalur lebar

Agensi: TM mampu tanggung pengurangan harga jalur lebar

Hubungan kukuh TM dengan kerajaan memberi kelebihan kepada kumpulan tersebut dalam menerima sokongan luar biasa daripada kerajaan.

Free Malaysia Today
Memandangkan metrik kredit TM dijangka berada dalam ambang penarafan diberi, RAM Ratings tidak menjangkakan sebarang kesan serta-merta kepada penarafan AAA/stabil/P1 program sukuk kumpulan itu. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Telekom Malaysia Bhd (TM) mampu menanggung impak kredit yang bakal timbul selepas harga jalur lebar dikurangkan, kata RAM Ratings.

Agensi penarafan itu berkata penilaian awalnya menjangkakan pengurangan tersebut akan berlaku secara beransur-ansur pada 25% dalam kadar langganan jalur lebar bagi tempoh 2 tahun akan datang, dengan mengambil kira pertumbuhan pelanggan yang tidak berubah dan hutang yang susut, untuk perbelanjaan modal dan dividen.

“Tahap penggearan TM dijangka memuncak 1.5 kali manakala dana dari operasi penyelesaian hutang mungkin berkurangan kepada purata 0.31 kali dalam tempoh 3 tahun akan datang.

“Memandangkan metrik kredit TM dijangka akan berada dalam ambang penarafan yang diberi, kami tidak menjangkakan sebarang kesan serta-merta kepada penarafan AAA/stabil/P1 yang diberikan kepada program sukuk kumpulan itu.

“Penilaian kami juga mengambil kira peranan strategik dan hubungan kukuh TM dengan pihak kerajaan, yang pada pandangan kami, memberi kelebihan kepada kumpulan tersebut khususnya dalam menerima sokongan luar biasa daripada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lepas, kerajaan mengumumkan bahawa kadar langganan jalur lebar akan dikurangkan sebanyak 25% menjelang hujung tahun ini berikutan pelaksanaan standard mandatori harga capaian (MSAP) mulai 8 Jun lepas.

Pelaksanaan itu juga akan menurunkan harga borong bagi akses jalur lebar berkelajuan tinggi dalam kalangan syarikat telekomunikasi lain yang akan membolehkan mereka memberi diskaun harga bagi pakej jalur lebar sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.