
Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan. Mahkamah akan membuat keputusan sama ada kedua-dua tertuduh perlu membela diri atas tuduhan membunuh ataupun dibebaskan.
Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, didakwa dengan 4 orang lagi yang masih bebas membunuh Jong Nam, 45, di balai berlepas klia2 pada 9.00 pagi, 13 Februari tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mahkamah diberitahu, Siti Aishah dan Doan yang didakwa membunuh Jong Nam itu merupakan pembunuh terlatih kerana mereka mengenal pasti sasaran mereka dan mereka secara teliti merancang dan melaksanakan misi mereka.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, jika ia satu “prank” (usikan) kenapa Siti Aisyah dan Doan perlu menggunakan kekerasan untuk meletakkan ejen saraf VX terhadap si mati.
“Kedua-dua tertuduh mahu memastikan bahan berbahaya itu kena tepat pada sasaran iaitu mata dan muka Jong Nam. Jika mereka tidak terlatih untuk menyasarkan dengan tepat dan sasaran yang tepat, mereka tidak akan berjaya menyelesaikan misi mereka,” katanya dalam penghujahannya pada akhir kes pendakwaan.
Tambah beliau lagi, mereka menyerang Jong Nam dengan satu bahan berbahaya yang mempunyai kebarangkalian kematian yang tinggi dan peluang untuk selamat amat kecil.
“VX itu ditemui di dalam mata Jong Nam dan ada yang mungkin bertanya dalam banyak-banyak anggota badan manusia kenapa kedua-dua tertuduh menyasarkan mata Kim Chol? Kenapa mereka tidak hanya menyapu bahan tersebut pada lengan atau baju yang dipakai mangsa?” tegas Wan Shaharuddin pada mahkamah.
Tambahnya, Siti Aisyah dan Doan tahu kesan langsung dan membawa maut jika bahan bahaya itu memasuki mata Jong Nam.
“Mereka juga tahu mata merupakan jalan masuk terbaik dan bahan berbahaya itu akan memberikan kesan terbaik jika ia terkena mata,” katanya.
Wan Shaharuddin juga menyifatkan pembunuhan Kim Chol dirancang dengan teliti dan direncanakan terlebih dahulu kerana mereka memiliki tiket teksi bagi memudahkan mereka melarikan diri.
“Seperti keterangan oleh pegawai penyiasat, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, berdekatan kawasan kejadian terdapat 4 tandas dengan papan tanda besar, tetapi kedua-dua tertuduh memilih menggunakan tandas di tingkat 2 yang lebih dekat dengan hab penggangkutan yang mana lebih mudah untuk mereka melarikan diri,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Wan Shaharuddin berkata, Siti Aisyah dan Doan tahu apa yang perlu dilakukan selepas menyapu bahan tersebut dan terdapatnya pencanggahan besar terhadap pelakuan mereka selepas mencuci tangan mereka.
“Melihat kepada gambaran yang lebih besar ini bukanlah satu kes pembunuhan biasa, sesiapa yang merancang pembunuhan ini memerlukan seorang pembunuh terlatih. Tidak ada ruang untuk gagal. Anda tidak boleh memilih 2 kambing hitam dari mana-mana untuk melaksanakan pembunuhan ini. Ia seperti menonton filem James Bond,” katanya.
Wan Shaharuddin mengingatkan semula kenyataan diberikan oleh saksi ke-2 yang mana kedua-dua tertuduh menyerang secara terus ke mata dan muka si mati.
“Ia bukan sekadar menyapu ke muka seperti meletakkan losyen di muka,” dan menambah Jong Nam mati akibat keracunan agen saraf VX yang akut.
Wan Shaharuddin berkata, berdasarkan bukti dikemukakan, pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
“Untuk mengetahui kenapa racun VX ditemui pada keratan kuku, kenapa racun VX ditemui pada baju kedua-dua tertuduh, kenapa mereka perlu menyerang Jong Nam sedangkan apa mereka buat dikatakan ‘prank’. Mahkamah ini perlu memerintahkan kedua-dua tertuduh untuk membela diri.
“Jika mereka terus berdiam, semua persoalan berpanjangan dalam mahkamah akan terus tidak terjawab dan mereka perlu disabitkan hukuman,” katanya.