
Bercakap kepada FMT bersempena sebuah seminar mengenai pilihan raya umum ke-14, Datuk Dr Denison Jayasooria berkata PH perlu menunaikan janjinya, terutama yang berkait dengan kelompok B40 bagi membantu mengurangkan kos hidup dan membaiki mutu kehidupan mereka.
“Harapan rakyat tinggi. Rasa tidak puas hati masyarakat terhadap kerajaan lepas adalah berkaitan kos hidup, dan ia masih tidak turun walaupun dengan kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Beliau berkata, kuncinya ialah dengan PH melakukan perubahan pada aras struktur yang boleh meningkatkan pendapatan benar rakyat.
“Bolehkah mereka bukakan lesen teksi dan menghapuskan kapitalisme kroni yang mengawal permit teksi?
“Apakah mereka akan meningkatkan penguatkuasakan kawalan harga,” soal Jayasooria, yang merupakan felo penyelidik kanan di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Jika tidak katanya, rasa tidak puas hati itu akan kembali.
Jayasooria menambah, PH perlu berusaha meyakinkan pengundi Melayu, terutama di kawasan luar bandar, berlatarkan suasana pembangkang terdiri daripada majoriti Melayu sekarang.
Katanya, tampak seolah-olah parti pembangkang seperti Umno dan PAS masih fokus kepada isu kaum dan agama.
“Pengundi di luar bandar diberitahu supaya tidak mempercayai orang Cina atau Kristian. Kaum dan agama digunakan secara negatif.”
Katanya, pemimpin PH perlu berhati-hati supaya tidak menggugat Perlembagaan Persekutuan.
“Saya fikir kerajaan menghadapi tugas sukar, dan ia mesti melibatkan kawasan penduduk Melayu tradisi. Temui mereka dalam bentuk kepelbagaian etnik.
“Jangan hanya hantar menteri Melayu ke kawasan Melayu, dan menteri India ke kawasan India, itu model Barisan Nasional (BN).”
Jayasooria berkata “agenda indoktrinasi” adalah kuat, dan politiklah yang menyebabkan rakyat berasa tidak selamat.
“Hantar Gobind Singh bercakap di kawasan Felda, hantar Lim Kit Siang bercakap dalam bahasa Melayu di RTM, atau Mujahid berceramah di gereja.
Menurut kajian pusat penyelidikan Merdeka Centre, hanya 25 ke 30% pengundi Melayu mengundi PH dalam pilihan raya lepas, dengan bakinya terbahagi antara BN dengan PAS.