Pengharaman 7 buku Faisal Tehrani belum dibatalkan

Pengharaman 7 buku Faisal Tehrani belum dibatalkan

Buku novelis itu diharamkan kerajaan terdahulu atas alasan ia mengandungi unsur Syiah Islam.

Free Malaysia Today
Faisal Tehrani berkata, Dr Mahathir Mohamad tidak mengharamkan karyanya ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri hari ini mendedahkan pengharaman 7 buku tulisan novelis, Faisal Tehrani oleh kerajaan terdahulu belum ditarik balik.

Hasil semakan dengan kementerian itu mendapati status 7 buku itu masih tidak berubah.

“Setakat ini, tiada arahan baru berhubung status buku itu,” kementerian itu memberitahu FMT.

Tujuh buku yang diharamkan kerajaan terdahulu ialah “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala”, “Tiga Kali Seminggu”, “Ingin Jadi Nasrallah”, “Perempuan Nan Bercinta”, “Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan:” serta “Aku ___ maka aku ada!”

Buku dan novel itu diharamkan atas dakwaan mengandungi unsur Syiah Islam, fahaman yang dilabelkan “sesat” oleh pihak berkuasa Islam negara ini.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri ke atas 4 buku tulisan Faisal kerana melanggar hak kebebasan bersuara penulis.

Faisal Tehrani ialah nama pena bagi Dr Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penulisan revisionis Faisal tentang sejarah dan budaya Melayu tidak diterima ulama arus perdana.

Penerima Anugerah Seni Negara daripada kerajaan pada 2006 itu pernah membidas tindakan kerajaan terdahulu mengharamkan bukunya.

Pada 25 Mei lalu, Faisal dipetik FMT sebagai berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mengharamkan karya kreatif ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Ahli akademik berusia 44 tahun itu berkata, sebuah novel yang secara terbuka menghina Dr Mahathir pada kemuncak protes reformasi pada akhir 1990-an juga tidak diharamkan.

“Novel oleh Shahnon Ahmad itu tidak diharamkan walaupun ia adalah penghinaan langsung dan terang-terangan terhadap Dr Mahathir,” katanya merujuk karya bertajuk “SHIT” oleh arwah Shahnon, sasterawan negara yang juga bekas mentor Faisal.

Terdahulu, Faisal selepas menemui Majlis Penasihat Kerajaan hari ini menggesa Putrajaya menubuhkan Majlis Penasihat Agama yang dianggotai agamawan, ahli akademik, aktivis masyarakat, sosiologis dan teologis untuk menasihatkan agensi Islam di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.