
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) ini berkata rakyat Malaysia, yang secara rasminya mengikut mazhab Shafie, tidak boleh fanatik pada satu-satu mazhab.
“Keterbukaan dalam menerima kepelbagaian pandangan ulama menunjukkan Islam bersifat wasatiyah dan terangkum,” katanya.
Beliau mengalakkan orang ramai menerima pandangan, pendapat, teguran dan nasihat untuk menambahbaik dan memantapkan pelaksanaan Islam, “lebih-lebih sistem penyampaian yang melibatkan orang Islam dengan orang Islam atau urusan melibatkan orang Islam dan bukan Islam.”
Terdahulu, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini berkata Islam perlu memberi penyelesaian kepada banyak isu kemanusiaan dan ada kalanya mazhab lain mempunyai penyelesaiannya.
Terdapat 4 mazhab fiqah dalam aliran Sunnah Wal Jamaah, iaitu Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Zamihan berkata pendirian mufti dalam soal hukum-hakam ini adalah “realistik”.
“Kepelbagaian pendapat dalam mazhab Shafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki memberi keluasan dalam ruangan ijtihad memahami fiqah dan mempraktik tentang fiqah sendiri,” katanya.
Beliau bagaimanapun merasakan perbezaan pendapat itu perlu diurus dan diamalkan secara tertib, beradab dan jelas.
“Masyarakat perlu jelas dengan dalil, bukti, fakta supaya masyarakat yakin dengan apa yang disampaikan oleh mufti,” katanya.
“Bukan kata pagi kita ambil Shafie, tengah hari kita ambil Hanbali, petang ambil Maliki campur jadi ‘rojak pasembur’.
“(Tetapi) Kita kata kita ambil Shafie dalam bab zakat contohnya, kemudian pandangan Hanafi dalam bab jual beli contohnya, dan setiap pandangan itu perlu dimuktamadkan mufti dan dijadikan landasan kukuh untuk fatwa.”
Mufti P Pinang: Malaysia perlu lebih terbuka terima pandangan mazhab lain