Kerajaan tinggalkan rasa pahit dalam kalangan pengusaha restoran

Kerajaan tinggalkan rasa pahit dalam kalangan pengusaha restoran

Tukang masak tempatan mahu gaji tinggi tetapi mahukah pelanggan membayar lebih, kata pengusaha restoran.

Free Malaysia Today
Pengusaha restoran tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang hanya membenarkan pengambilan tukang masak tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengusaha restoran nampaknya tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang menetapkan restoran hanya boleh mengambil orang tempatan sebagai tukang masak bermula 1 Januari depan.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran digesa mempertimbangkan semula, atau memberikan pengusaha restoran sekurang-kurangnya 3 tahun untuk melatih orang tempatan.

Seorang pemilik restoran berkata langkah-langkah lain juga patut diambil, seperti mengenakan kuota, sekiranya keputusan itu dibuat atas dasar kesihatan atau untuk membuka peluang pekerjaan kepada orang tempatan.

Mereka juga bertanyakan sama ada keputusan itu turut terpakai ke atas cef warga asing di hotel-hotel dan restoran-restoran mewah.

Pengusaha restoran mengadu rakyat keberatan bekerja sebagai tukang masak kerana gaji yang ditawarkan dirasakan tidak setimpal, dan gaji lebih tinggi pula akan meningkatkan kos lalu menawarkan hati pelanggan.

Ho Su Mong, ketua Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura berkata, idea menteri itu “tidak wajar” kerana bukan senang mencari tukang masak tempatan.

“Susah cari tukang masak tempatan walaupun ditawarkan gaji RM3,000. Ahli-ahli kami di Johor Bahru tersepit kerana di seberang tambak, gaji tukang masak boleh mencecah S$2,500. Kami perlu tawarkan gaji sekurang-kurangya RM6,000 jika mahu bersaing. Jadi bagaimana?

“Sebab itulah ramai rakyat kita lebih suka bekerja di seberang.”

Beri masa atau kuota

Ho berkata dasar “tukang masak tempatan” mungkin berjaya di Pulau Pinang kerana ia terhad kepada penjaja, yang mengusahakan gerai sendiri dan meraih semua keuntungan daripada perniagaan kecil itu.

“Tetapi berbeza halnya dengan restoran dan kedai kopi. Pemilik akan berdepan masalah kekurangan tukang masak dan saya bimbang banyak kedai akan tutup.”

Ho berkata kerajaan patut memberikan temooh masa 3 tahun sekurang-kurangnya kepada pengusaha restoran untuk melatih tukang masak.

“Banyak restoran melatih tukang masak asing dan sebahagian daripada mereka menjadi tukang masak yang bagus, sedia belajar dan tidak kisah waktu bekerja yang panjang.”

Ho mencadangkan kerajaan memperkenalkan kuota untuk tukang masak asing daripada larangan menyeluruh.

Beliau juga tertanya adakah keputusan itu termasuk cef asing di hotel-hotel dan restoran-restoran mewah.

Mahukah pelanggan bayar lebih?

Seorang pemilik restoran, yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, berkata Kulasegaran sepatutnya mengkaji dan memahami keadaan di bawah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Orang tempatan tidak mahu bekerja sebagai tukang masak di kedai-kedai biasa kerana ia kerja yang sukar, gajinya tidak tinggi dan tidak menarik seperti bekerja di hotel,” kata Tan, yang menggaji 3 tukang masak di restorannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

“Saya cef utama, dan tukang masak asing saya dibayar gaji RM1,500, lebih tinggi daripada gaji minimum. Saya sebenarnya lebih suka ambil pekerja tempatan tetapi tidak ramai yang boleh menerima gaji RM1,500.

“Kalau saya bayar gaji seorang tukang masak tempatan sebanyak RM2,000 sebulan, itu tambahan RM1,500 sebulan tidak termasuk caruman KWSP.”

Jika tukang masak dibayar gaji tinggi, dia perlu memindahkan kos itu kepada pelanggannya. Beliau tertanya adakah rakyat boleh menerima perkara itu.

Dia juga tertanya apakah rasional di sebalik keputusan itu kerana isu kesihatan atau untuk membuka peluang pekerjaan kepada orang tempatan.

“Jika masalahnya ialah kesihatan, kerajaan boleh mewajibkan semua tukang masak memenuhi syarat-syarat yang sama, sama ada pemeriksaan kesihatan tahunan atau suntikan demam kepialu.

“Jika mahu memastikan peluang pekerjaan mencukupi untuk orang tempatan, saya rasa langkah ini sama sekali tidak bijak: Masalahnya pengusaha restoran bukan tidak mahu ambil orang tempatan tetapi orang temptan tidak mahu melakukan kerja-kerja ini pada gaji yang boleh ditawarkan restoran.”

Kementerian Sumber Manusia hari ini mengumumkan bermula 1 Januari, pengusaha restoran hanya boleh mengambil orang tempatan sebagai tukang masak, dan restoran digesa mengambil tukang masak tempatan bermula 1 Julai ini.

Pengusaha restoran diberi masa sehingga hujung tahun ini untuk mematuhi peraturan itu.

Kulasegaran: Hanya tukang masak tempatan dibenarkan mulai tahun depan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.