TRX City akan lapor polis RM3.07 bilion diseleweng 1MDB

TRX City akan lapor polis RM3.07 bilion diseleweng 1MDB

Berikutan penyelewengan itu, TRXC tidak mempunyai wang cukup untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju utama TRX.

Free Malaysia Today
TRX City Sdn Bhd mengalu-alukan sokongan Kementerian Kewangan dalam menyiapkan pembangunan TRX, daerah kewangan antarabangsa yang baru di KL. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
TRX City Sdn Bhd (TRXC) akan membuat laporan polis berhubung dana untuk pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) yang diambil 1MDB.

Dalam laman webnya hari ini, syarikat itu berkata, tindakan akan diambil selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan RM3.07 bilion yang dimaksudkan untuk pembangunan TRX disalahgunakan 1MDB.

Berikutan penyelewengan itu, TRXC tidak mempunyai wang cukup untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju utama TRX.

Lim mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib dan Ketua Pegawai Operasi, Tan Hwa Min membuat laporan kepada polis serta panel siasatan khas 1MDB.

TRXC kemudian dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 31 Mac 2017.

Sementara itu, Azmar berkata, syarikat itu mengalu-alukan sokongan kementerian dalam menyiapkan pembangunan TRX.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana mempunyai keyakinan terhadap TRX, daerah kewangan antarabangsa yang baru di KL.

“Pelabur kami akan melihat komitmen ini secara positif kerana ia mengesahkan pendirian pro-perniagaan kerajaan. Kami mencapai kemajuan besar dengan projek ini dan menarik ramai pelabur bertaraf dunia.

“Dengan sokongan yang sangat diperlukan ini dan komitmen berterusan dari rakan kongsi kami, kami berharap dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual dan belanjawan, untuk manfaat Malaysia dan semua rakyat Malaysia.”

Sebagai daerah pusat perniagaan masa depan Kuala Lumpur, TRX akan mengukuhkan kedudukan bandar raya ini sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa terkemuka, dengan mewujudkan persekitaran perniagaan bersepadu dan lancar untuk firma perkhidmatan kewangan, syarikat multinasional dan perniagaan sampingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.