Peguam: Jangan buka semula kes untuk puaskan orang awam

Peguam: Jangan buka semula kes untuk puaskan orang awam

Peguam Manjeet Singh Dhillon berkata sukar untuk bergantung kepada bekas polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar sebagai saksi pendakwa kerana kredibiliti mereka boleh dipersoalkan.

Free Malaysia Today
Manjeet berkata, pihak pendakwaan memerlukan saksi berwibawa bagi mendapatkan sabitan ke atas orang yang dituduh membunuh atau bersubahat dalam jenayah tersebut.
PUTRAJAYA:
Seorang peguam kanan mengingatkan kerajaan supaya tidak membuka semula penyiasatan jenayah terhadap kes pembunuhan warga Mongolia pada 2006 hanya untuk memuaskan hati orang awam.

Peguam jenayah, Manjeet Singh Dhillon berkata, pihak pendakwaan memerlukan saksi berwibawa bagi mendapatkan sabitan ke atas orang yang dituduh membunuh atau bersubahat dalam jenayah tersebut.

“Ia tugas sukar, walaupun tidak mustahil. Bagaimanapun ia tidak harus dibuat kerana mahu memuaskan hati orang awam,” katanya.

Beliau memberi respons terhadap bapa Altantuya, Setev Shaariibuu yang membuat laporan polis semalam bagi mempercepatkan proses membuka semula penyiasatan ke atas pembunuhan anaknya pada Oktober 2006.

Peguam Setev, Ramkarpal Singh berkata kes itu perlu dibuka semula kerana beberapa saksi tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Secara khusus, beliau menyebut nama Deputi Superintendan Musa Safri, bekas pembantu bekas timbalan perdana menteri pada waktu itu, Datuk Seri Najib Razak.

Musa tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan 2 bekas polis, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Azilah kini menunggu hukuman dijalankan di penjara Kajang. Beliau mengemukakan permohonan pengampunan pada 2016.

Sirul melarikan diri selepas beliau dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013. Beliau kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Brisbane.

Altantuya dilaporkan merupakan kekasih Abdul Razak Baginda, sekutu rapat Najib Razak, yang didakwa mengatur sogokan bagi pembelian kapal selam buatan Peranchis pada 2002.

Beliau dikatakan bersubahat dalam jenayah tersebut, tetapi dibebaskan tanpa pembelaannya dipanggil oleh mahkamah. Kerajaan tidak merayu terhadap keputusan itu.

Walaupun Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan, tetapi motif pembunuhan Altantuya tidak pernah ditentukan.

Manjeet berkata, motif tidak penting dalam kes bunuh melainkan untuk menolak isu provokasi atau pembunuhan kerana berahi.

Katanya Azilah dan Sirul boleh diterima sebagai saksi pendakwaan, tetapi kewibawaan mereka perlu dipertimbangkan.

“Sejauh mana testimoni mereka boleh diterima bergantung kepada hakim perbicaraan,” tambahnya.

Dalam keterangan pembelaannya, Azilah berkata beliau tidak berada di tempat kejadian, sementara Sirul membuat kenyataan tidak bersumpah bahawa beliau merupakan “mangsa keadaan”. Kedua-dua pembelaan tersebut ditolak oleh hakim perbicaraan ketika itu.

Peguam N Sivananthan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes tersebut, bukannya meminta polis menyiasatnya sekali lagi.

“Oleh sebab kes ini mendapat perhatian umum, RCI boleh memanggil saksi bagi menentukan pihak bertanggungjawab dan juga motif pembunuhan Altantuya,” katanya.

Katanya, berbeza daripada perbicaraan di mahkamah, di bawah RCI undang-undang keterangan tidak terpakai dalam penyiasatannya.

“RCI boleh membuat cadangan dan terserah kepada peguam negara untuk memberi arahan kepada polis supaya meneruskan siasatan dan merangka tuduhan sekiranya terdapat bukti mencukupi.”

Sivananthan juga berkata menjadikan Azilah dan Sirul saksi pendakwaan adalah berisiko kerana mereka boleh dicabar sekiranya memberi keterangan yang bercanggah dengan kedudukan mereka dalam perbicaraan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.