
Beliau turut mengumumkan jawatankuasa yang berperanan menyediakan laporan untuk memperkasakan TVET itu dipengerusikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
“Nurul Izzah merupakan seorang yang sangat mengambil berat tentang pendidikan TVET dan telah berbincang dengan saya bagaimana TVET dapat membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan dan juga keusahawanan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini.
Nurul Izzah dalam pada itu berkata, beliau mahu menjadikan pemegang sijil TVET bangga dengan kepakaran mereka yang sentiasa diperlukan, biarpun masa berubah dan tidak lagi dilihat sebagai kepakaran kelas ke-2.
“Orang yang berkemahiran untuk membaiki rumah, kontraktor dan membaiki pendingin hawa akan diperlukan 5 tahun dari sekarang. Jadi, TVET merupakan kepakaran malar hijau.”
Katanya, beliau juga mahu melihat TVET Malaysia setanding industri TVET di Jerman yang menjadi tulang belakang tenaga kerja di negara itu.