
Katanya, Umno lebih memerlukan wang berbanding kerajaan kerana mereka kini berstatus pembangkang.
“Kalau saya dipilih sebagai ketua Pemuda Umno, saya akan potong gaji sebagai senator Dewan Negara sebanyak 50% untuk disalurkan ke dalam tabung Pemuda Umno.
“Sekarang Umno dah jadi parti pembangkang, oleh itu memang perlukan suntikan dana ini,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Hasil semakan FMT mendapati gaji bulanan ahli Dewan Negara ialah RM11,000.
Sementara itu, Azwan berjanji akan menjadi ahli Dewan Negara yang telus dan menyokong rang undang-undang memberi manfaat kepada rakyat.
“Tak semestinya jika dah jadi pembangkang, semua rang undang-undang saya akan bantah. Kalau baik untuk rakyat, saya akan sokong.”
Azwan antara 9 calon yang akan merebut jawatan ketua Pemuda Umno.
Dalam manifestonya, Azwan membuat 9 tawaran baru untuk memastikan Pemuda Umno terus relevan dan diterima rakyat, termasuk had umur ketua dan naib ketua Pemuda Umno tidak melebihi 40 tahun.
Beliau juga akan menetapkan had umur keahlian Pemuda Umno tidak melebihi 35 tahun.
“Saya juga menawarkan insentif kepada ahli Pemuda Umno menjalani kelas bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin serta pengajian al-Quran,” katanya.