
Pengasas Naelofar Hijab, Noor Neelofa Mohd Noor berkata banyak pihak mengeluarkan barangan tiruan dan berkata ada keperluan untuk memantau pihak berkenaan.
“Kami pernah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dan kastam tetapi ia memakan kos yang tinggi untuk kita teruskan usaha menangani masalah ini.
“Jadi, saya sudah mencadangkan kerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menutup akaun-akaun yang menjual barangan tiruan apabila laporan terhadap pihak berkenaan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.
Noor Neelofa juga menyeru akses lebih mudah kepada pendanaan, dokumentasi dan maklumat untuk usahawan.
Sementara itu, pengasas bersama FashionValet dan dUCK Group, Vivy Sofinas Yusof, juga bermesyuarat dengan majlis dan mengadu tentang barangan tiruan dari Vietnam dan China yang dijual di pasaran Malaysia.
“Kami pernah bertanyakan apa yang kastam boleh lakukan tentang perkara ini kerana sekarang sesiapa sahaja boleh bawa masuk barangan tiruan ke dalam negara dan ini menjejaskan usahawan tempatan,” katanya.
Vivy juga menyentuh tentang ketidakmampuan beberapa usahawan tempatan bercakap dalam bahasa Inggeris kerana kurangnya keyakinan diri dan harga diri dan keadaan itu membantutkan kemajuan mereka.
“Sesuatu perlu dilakukan untuk bina keyakinan mereka,” tambahnya.