Pinjaman mudah bukan penyelesaian masalah perumahan, kata pakar

Pinjaman mudah bukan penyelesaian masalah perumahan, kata pakar

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan berkata memaksa bank melonggarkan syarat pinjaman adalah resipi bencana.

Free Malaysia Today
Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan berkata melonggarkan syarat pinjaman bukan cara untuk meningkatkan pemilikan rumah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan pengguna mengingatkan kerajaan berkaitan cadangan mengkaji semula syarat pinjaman perumahan ketat yang ditetapkan oleh bank, dengan berkata ia bukan cara tepat bagi mengatasi isu pemilikan rumah di negara ini.

Bercakap kepada FMT, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) memberi respons kepada kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang berkata syarat pinjaman untuk golongan muda, terutamanya pembeli rumah kali pertama, perlu dikaji semula.

Setiausaha agung HBA, Chang Kim Loong berkata walaupun cadangan itu dibuat dengan niat baik, dan Bank Negara sendiri beranggapan harga median rumah “sangat tidak mampu milik” serta berada di luar kemampuan kebanyakan rakyat, bank perlu melindungi deposit pelanggan mereka.

“Bank menjalankan perniagaan mengambil deposit dan memberi pinjaman dan dalam proses itu mendapat untung.

“Jadi bank akan berusaha memberi pinjaman kepada pelanggan yang memenuhi kesemua kriteria asas minimum mereka.”

Katanya ini bermakna bank mesti mengamalkan tahap kewaspadaan yang tinggi sebelum meluluskan setiap pinjaman dan perlu berasa pasti bahawa bakal peminjam berkemampuan membayar balik bayaran ansuran sepanjang tempoh pinjaman.

Beliau berkata, sekiranya bank melonggarkan syarat hutang, ia boleh menyebabkan bencana sekiranya ramai peminjam gagal membayar balik pinjaman mereka.

“Ini boleh menyebabkan kesan domino yang membawa kepada runtuhnya sistem perbankan dan ekonomi negara, seperti yang berlaku di AS semasa krisis gadai janji subprima pada 2006 dahulu.”

Katanya penyelesaian lebih baik ialah membina lebih banyak rumah mampu milik dan memperluaskan skim sewa beli perumahan.

Pakar hartanah, Ernest Cheong berkata, adalah “sia-sia” untuk meminta bank mengendurkan syarat pinjaman kerana kebimbangan utama mereka ialah kadar gagal membayar hutang.

Kata beliau, masalahnya bukanlah kerana syarat pinjaman tetapi realiti bahawa kebanyakan rakyat tidak mampu membeli rumah.

“Ramai yang hadapi kesukaran untuk hidup. Berapa banyak keluarga mempunyai simpanan untuk waktu kecemasan?

“Walaupun tanpa adanya cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kos hidup terus meningkat.”

Cheong berkata, tahap gaji perlu ditingkatkan, bukannya syarat pinjaman diturunkan.

“Di bandar utama, sebuah rumah mungkin mencecah harga purata RM400,000 sebuah. Ansuran bulanan untuk pinjaman sebanyak itu ialah RM2,000. Berapa ramaikah yng mampu membayarnya?”

Katanya harga rumah mungkin menurun akibat lebihan penawaran tetapi ia akan mengambil masa lebih lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.