Najib gembira kerajaan tak batal projek DFTZ

Najib gembira kerajaan tak batal projek DFTZ

Ekonomi digital sektor paling pesat membangun dan diunjurkan menyumbang 20% daripada KDNK menjelang 2020.

KUALA LUMPUR:
Inisiatif seperti Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) merupakan medium untuk mempersiapkan generasi muda terhadap peluang pekerjaan yang masih belum wujud, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

Menurut Najib, ini berikutan manfaat DFTZ yang dijangka mewujudkan 60,000 pekerjaan, memudah cara perdagangan barangan bernilai AS$65 bilion menjelang 2025 selain dapat melipatgandakan aspek penghantaran dan jumlah kargo untuk Malaysia menjelang 2025.

“Ekonomi digital sektor paling pesat membangun dalam ekonomi negara. Pada masa ini, ia menyumbang sebanyak 18.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan diunjur menyumbang sehingga 20% menjelang 2020.

“Saya gembira apabila DFTZ yang dirangka oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional dan dilancarkan dalam tempoh lebih pantas dan seiring dengan Alibaba, tidak dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook hari ini.

Alibaba Group hari ini membuka pejabatnya di Kuala Lumpur yang menandakan lembaran baru syarikat itu dalam meluaskan kerjasama strategik dengan Malaysia, menerusi pembukaan hub Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) pertama di luar dari China.

Dalam kenyataan, syarikat gergasi e-dagang memetik Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai berkata eWTP beserta DFTZ akan menggalakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana untuk turut serta dalam e-dagang, sekali gus meningkatkan eksport ke negara lain di Asia dan ke kawasan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.