
Majlis rumah terbuka bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu menghidangkan pelbagai juadah tradisional, termasuk sate, ketupat, lemang dan rendang.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal berkata kehadiran ramai tetamu pada majlis itu memperlihatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Kehadiran ramai tetamu dari seluruh daerah di Sabah memperlihatkan bukan sahaja datang untuk menyambut hari raya Aidilfitri, tetapi ia menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan negeri yang baru.
“Oleh itu, kami harap semua rakyat di peringkat akar umbi dapat bersama-sama terus memajukan Sabah…dengan adanya penyatuan semua rakyat dan kerajaan, usaha kami untuk membangunkan Sabah akan dapat dicapai.”
Turut hadir Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Christina Liew serta beberapa menteri negeri.