Realisasikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai, kata penduduk

Realisasikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai, kata penduduk

Berikutan kekalahan kerajaan BN harapan ke arah mentransformasi pulau didiami 25,000 penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada hasil laut itu kini samar.

Free Malaysia Today
Pada pembentangan Bajet 2018 Oktober tahun lalu, Pangkor diumumkan sebagai pulau bebas cukai. (Gambar Bernama)
PANGKOR:
Penduduk Pangkor berharap kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu meneruskan usaha pembaharuan atau penjenamaan semula pulau tersebut untuk direalisasikan sebagai pulau bebas cukai.

Berikutan kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas, segala harapan ke arah mentransformasi pulau didiami 25,000 penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada hasil laut itu kini samar.

Pada pembentangan Bajet 2018, Oktober tahun lalu, Pangkor diumumkan sebagai pulau bebas cukai.

Seorang pengusaha resort di Pasir Bogak di sini, Asmadi Teh, 55, berkata Pangkor memerlukan suntikan baru bagi memastikan ia terus kekal menjadi pilihan pelancong, namun prasarana dan kemudahan sedia ada perlu dinaik taraf.

“Pulau ini lazimnya akan meriah dengan kehadiran pelancong terutama pada musim cuti sekolah dan cuti hujung minggu, namun ia ‘lengang’ pada hari biasa.

“Jadi kami sangat berharap Pangkor diberi status pulau bebas cukai dan boleh merancakkan kembali sektor pelancongan serta aktiviti sosio-ekonomi setanding dengan pulau bebas cukai lain seperti Pulau Langkawi,” katanya.

Bagi peniaga hasil laut Pangkor, Chan Eng Hoo, 48, dari Kampung Sungai Pinang berpendapat kerajaan negeri perlu memperhebatkan promosi pelancongan Pangkor kerana sejak kebelakangan ini, ramai peniaga tempatan mula mengeluh kerana hasil perniagaan merosot disebabkan kurang pelancong mengunjungi dan membeli barangan di pulau itu.

“Perkara ini melibatkan pelbagai faktor termasuklah orang ramai yang semakin berhati-hati untuk berbelanja memandangkan keadaan ekonomi semasa masih tidak menentu, meskipun sekarang sudah sifar GST,” katanya yang telah 18 tahun membuka perniagaan hasil laut di pulau itu.

Bagi peniaga gerai makan di kawasan jeti Lumut, Mohd Salleh Ismail, 42, berharap Pangkor dapat direalisasikan sebagai pulau bebas cukai yang sedikit sebanyak akan membantu menaikkan semula pekan Lumut.

“Kedudukan kami di kawasan jeti Lumut sudah tentu sedikit sebanyak akan memberi tempias ekonomi dan kami harap keadaan perniagaan akan semakin baik pada masa akan datang kerana suasana di sini agak suram disebabkan pengunjung agak berkurangan dalam dua tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Saranan yang sama turut dikongsi 2 pelancong dari Selangor, Abd Karim Wahidun, 29, dari Klang, dan R. Darmindren, 33, dari Batu Caves, yang berpendapat jika ia direalisasikan, sudah pasti Pangkor akan menjadi tumpuan pelancong kerana pulau ini sinonim dengan “pelancongan bajet”, malah jarak antara Pangkor dengan Kuala Lumpur masih dikira dekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.