
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata “skandal tetap ialah skandal tidak kira sekecil mana pun, dan perlu disiasat berdasarkan ketegasan undang-undang sepenuhnya”.
Katanya, ahli Parlimen dan adun PH perlu lebih berhati-hati dalam memberi sokongan untuk mendapatkan lesen, permit, kontrak kerja dan projek.
Beliau berkata, penjawat awam dalam agensi dan jabatan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan tidak seharusnya takut kepada ahli politik dan merasakan mereka bertanggungjawab meluluskan permohonan berdasarkan surat sokongan itu.
“Selagi prosedur operasi standard dipatuhi dan keputusan dibuat dengan mengambil kira kepentingan orang ramai, mereka tidak perlu takut,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil berharap kejadian ini adalah “tanda merah” pertama dan terakhir PH.
Kontroversi lot bazar Ramadan di Jalan Masjid India timbul apabila ahli Pemuda PPBM, Mohd Noorhisyam Abd Karim didakwa mengambil wang daripada penjaja.
Beliau didakwa menyalahgunakan nama Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun untuk mendapatkan 80 lot gerai dengan bayaran RM6,238.40 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebelum menyewanya sehingga RM5,000 bagi setiap lot melalui orang tengah.
Veteran DAP itu mengakui menulis surat sokongan kepada DBKL, selepas Noorhisyam meminta bantuannya pada 5 Jun lalu, dengan syarat sewa hanya boleh dikenakan DBKL.
Fong berkata, beliau hanya mahu membantu penjaja yang tidak mempunyai lesen mendirikan gerai dan menafikan menerima wang daripada penjaja terbabit.
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain dilaporkan berkata, pada mulanya mereka menolak permohonan Noorhisyam, sebelum dipaksa meluluskannya selepas menerima surat sokongan Fong.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/15/dbkl-salahkan-ahli-parlimen-atas-isu-lot-bazaar-ramadan/
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/15/lot-bazaar-ramadan-fong-mungkin-saman-saddiq-gesa-siasatan/