
Kamarul Zaman Yusoff berkata kerjasama ini akan memudahkan PH meluluskan rang undang-undang di Dewan Rakyat, tetapi isu Taib Mahmud pasti akan menimbulkan ketegangan dalam gabungan itu, yang memenangi pilihan raya 9 Mei lalu atas platform reformasi.
“Tidak semua komponen dalam PH gembira untuk bekerjasama dengan parti bekas BN Sarawak itu, sebab kita sudah tahu yang ‘big bos’ kepada BN Sarawak adalah Taib,” katanya.
“DAP dan PKR Sarawak menentang penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilakukan pemimpin BN Sarawak jadi sudah tentu perjuangan mereka di Sarawak sebelum ini sia-sia dan hanya balik asal.”
Taib sekarang ini adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan pernah menjadi ketua menteri Sarawak dari Mac 1981 hingga Februari 2014.
Kamarul meramalkan perkara ini selepas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar BN dan mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.
Penganalisis itu berkata perkembangan ini, yang memberi kerjasama 19 kerusi Parlimen kepada kerajaan persekutuan, akan membantutkan usaha DAP dan PKR Sarawak menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Taib, yang didakwa terpalit dengan pelbagai kontroversi.
“Bukan setakat mereka sahaja, portal Sarawak Report sendiri lahir sebab dakwaan penyelewengan di Sarawak yang dikatakan sangat besar. Ini sudah tentu akan menimbulkan ketegangan dan rasa tidak puas hati DAP dan PKR Sarawak,” katanya.
Beliau berkata kehadiran PPB, yang merupakan tunjang kepada BN Sarawak, PRS, PDP dan SUPP tidak akan disenangi oleh PKR dan DAP Sarawak kerana ia mengganggu kedudukan dan aturan politik dalam PH dan PH Sarawak.
“PH dan GPS dijangka akan berdepan masalah pembahagian kerusi jika berlakunya pilihan raya di Sarawak,” katanya, merujuk kepada pilihan raya negeri yang mungkin diadakan pada 2021.