
Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun Dr Mahathir tidak menyatakan Malaysia akan keluar daripada perjanjian itu, pihaknya berpendapat Malaysia tidak seharusnya terikat dengan perjanjian yang mempunyai risiko itu.
Menurutnya, sejak penglibatan Malaysia bersama 10 negara lain, pihaknya menegaskan negara akan berdepan dengan risiko pelbagai aspek polisi negara dalam ekonomi, budaya, kesihatan, pendidikan, pertanian dan dasar perlindungan Bumiputera.
“Dari awal kami sudah melihat TPP adalah suatu perjanjian yang didominasi oleh kepentingan Amerika Syarikat yang melihat TPP sebagai peluang untuk kuasa besar itu boleh menguasai lebih 40% pasaran dunia.
“Setelah Malaysia menandatangani TPP, proses meminta dan retifikasi dasar dan undang-undang negara terpaksa dilakukan supaya selaras dengan perjanjian ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.
Azmi juga berkata amaran berkenaan disampaikan kepada kerajaan supaya tidak meneruskan penglibatan dalam proses rundingan TPP.
Ahad lalu Dr Mahathir dilaporkan berkata mahu mengkaji semula perjanjian TPP kerana percaya ia tidak memberi kelebihan kepada negara kecil seperti Malaysia.
Beliau berkata perjanjian perdagangan itu, yang turut merangkumi Jepun dan Kanada, perlu mengambil kira tahap pembangunan negara terlibat.
Mengulas lanjut, Azmi bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa ekonomi yang masih berskala kecil seperti Malaysia akan berdepan risiko tinggi di bawah syarat perjanjian itu.
“Hujah yang mengatakan TPP itu akan menguntungkan negara tidak dapat diterima jika status ekonomi antara negara-negara dalam perjanjian itu tidak seimbang.
“Apa yang diketengahkan banyak pemikir ekonomi dunia TPP merupakan suatu bentuk penjajahan adalah munasabah sebab syarat yang dikenakan banyak berpihak kepada negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Kanada,” katanya.
Tegasnya, walaupun perjanjian itu mahu mendapat manfaat daripada 13% pasaran global bernilai sekitar AS$10 trilion, tetapi dalam persaingan antara negara berekonomi kukuh dengan negara kecil seperti Malaysia, ia tidak akan dapat melindungi ekonominya.