
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, (rantau) Indo-Pasifik, termasuk Laut China Selatan perlu bebas dan terbuka berlandaskan kedaulatan undang-undang serta dipelihara sebagai laluan awam global untuk keamanan dan kemakmuran serantau.
“Jepun sedia bekerjasama dengan mana-mana jua negara dalam menyokong konsep ini bersama Malaysia. Saya berazam meningkatkan lagi kerjasama demi keamanan dan kestabilan serantau, termasuk di kawasan keselamatan maritim,” katanya pada sidang akhbar bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang melakukan lawatan kerja ke Jepun.
Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen kebangsaan dan media sosial.
Dr Mahathir melakukan lawatan kerja 3 hari ke negara itu, yang merupakan lawatan sulungnya ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana perdana baru berikutan kemenangan mengagumkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Pada sidang akhbar bersama itu, Dr Mahathir berkata: “Kami sependapat perlu memastikan Selat Melaka dan Laut China Selatan bebas digunakan bagi tujuan pelayaran oleh semua negara”.
Selepas majlis itu, Abe menghadiahkan sehelai jersi pasukan Piala Dunia Jepun kepada Dr Mahathir yang tertera namanya dan angka 7 sebagai simbol beliau menjadi perdana menteri ke-7 Malaysia.
Abe berkata, hadiah itu juga melambangkan harapan agar hubungan persahabatan kedua-dua negara bertambah kukuh.
Dr Mahathir pula menghadiahkan Abe sebuah buku tentang dirinya sambil menzahirkan harapan buku itu akan membolehkan Abe lebih mengenalinya.