
Ia selepas seorang pegawai Cawangan Khas di Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud pada bulan lalu mendakwa suami mereka ditahan sepasukan polis sama atas alasan Syiah dan memurtadkan umat Islam.
Susanna Liew dan Norhayati Ariffin dalam surat terbuka kepada perdana menteri hari ini berkata, mereka sedar cabaran yang dihadapi kerajaan baru pimpinan Dr Mahathir selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Akan tetapi, kerajaan Tun ialah kerajaan berkuasa hari ini: apa-apa kelewatan menangani isu ini mungkin boleh ditafsirkan oleh pihak luar dan dalam negara sebagai suatu pelanggaran kedaulatan undang-undang dan suatu penafian hak asasi suami kami diberi perlindungan di bawah undang-undang tersebut.”
Amri yang juga pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016. Norhayati dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.
Koh, 62, pula yang dalam perjalanan ke rumah rakannya, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya, pada 13 Februari 2017.
Rakaman kamera litar tertutup dari sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan terlibat dalam insiden siang hari itu.
Norhayati berkata, Shamzaini ke rumahnya di Kangar pada 12 Mei lalu dan mengaku suaminya diambil sepasukan polis dari Bukit Aman “kerana Syiah dan forex (tukaran mata wang asing)”.
Katanya, Shamzaini turut mendakwa pasukan polis sama menahan Koh “kerana dia memurtadkan orang Islam”.
Bagaimanapun, polis memberitahu panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 30 Mei lalu yang Shamzaini menafikan pendedahan maklumat mengenai kes Amri dengan mengemukakan salinan laporan polis dibuat Shamzaini pada 18 Mei.
“Beliau mengaku berjumpa dengan Norhayati pada malam 12 Mei, tetapi menafikan bercakap pihak polis terlibat dalam kehilangan suami kami. Dalam laporan (polis) ini, beliau kata pengakuan sebegini boleh ‘memudaratkan diri saya sendiri’.”
Sejak itu, Norhayati dan Liew berusaha mempercepatkan siasatan, termasuk membuat laporan polis, dengan menyerahkan maklumat, bukti relevan dan menulis surat kepada polis serta Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, sehingga kini, mereka berkata, tiada maklum balas daripada pihak berkaitan.
Norhayati dan Liew turut merayu pihak berkuasa memberi imuniti kepada Shamzaini untuk bercakap kepada penyiasat bebas dan Jabatan Peguam Negara menyediakan ruang selamat kepada pemberi maklumat membuat pendedahan mengenai kehilangan Amri serta Koh.