
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, pelantikan Ismail sebagai KSU perbendaharaan berkuat kuasa hari ini.
Katanya, Ismail berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan menerusi pelbagai jawatan dipegangnya.
Beliau pernah menjadi penasihat kanan di ibu pejabat Bank Dunia di Washington dan pengarah belanjawan di Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan sebelum dipindahkan ke Kementerian Pengangkutan sebagai KSU pada November 2014.
Beliau juga berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang ekonomi dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Hull, United Kingdom, selain Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.
“Beliau sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan mula menyertai perkhidmatan tadbir dan diplomatik pada 13 Januari 1986,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki Ismail Bakar akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan dan mampu meneruskan visi Kementerian Kewangan sebagai peneraju strategik keberhasilan kewangan dan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan mampan demi kemakmuran rakyat dan negara.”
Pada 14 Mei lalu, Ali dilaporkan berkata, kontrak Irwan Serigar sebagai ketua setiausaha perbendaharaan yang sepatutnya tamat pada 6 Mac 2019, dipendekkan kepada 14 Jun ini.
Irwan Serigar tidak dibenarkan menjalankan tugas sebagai ketua setiausaha perbendaharaan atau apa-apa yang berkaitan Kementerian Kewangan mulai 14 Mei lalu sehingga esok.
Irwan Serigar juga adalah pengerusi 1MDB, syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan.