
Pengarah Eksekutifnya Eric Paulsen berkata, ini kerana manifesto Pakatan Harapan (PH) ada menyenaraikan janji membuat penambahbaikan undang-undang yang melanggar hak asasi manusia iaitu menghapuskan hukuman gantung secara mandatori.
“Ini ada dalam manifesto Pakatan Harapan. Jadi saya rasa tindakan ini belum lagi, kita tidak tahu sama ada akan dilakukan atau tidak. Tapi sekiranya dilakukan saya rasa tidak melanggar prinsip, ia ada di dalam manifesto mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hukuman mati terhadap Sirul mungkin diganti dengan hukuman penjara supaya dia boleh diekstradisi ke Malaysia.
“Kita mungkin akan batalkan hukuman gantung, tapi digantikan dengan hukuman penjara supaya beliau boleh kembali ke tanah air,” katanya sambil menambah usaha membawa Sirul pulang ke Malaysia akan terbantut jika hukuman mati dikekalkan.
Mengulas lanjut, Eric berkata pembunuhan Altantuya merupakan kes yang besar dan sangat serius kerana ia melibatkan Unit Tindakan Khas (UTK).
“Ia melibatkan isu yang sangat penting, bukan pembunuhan yang biasa sebab dia menggunakan (bom) C4. Ini perkara yang sangat besar dan kita perlu tahu siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan PH dan Peguam Negara mengkaji semula peruntukan undang-undang yang mempunyai hukuman gantung mandatori.
“Dari situ saya syorkan sesuatu moratorium akan dikuatkuasakan secepat mungkin agar semua hukuman gantung yang telah diputuskan digantung sementara hukuman mereka dan digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup,” katanya.
Pada April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan bekas ketua inspektor, Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya, 28, di sebuah hutan di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006 dengan badannya diletup menggunakan bahan letupan gred tentera.
Mereka bagaimanapun dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mengembalikan sabitan bersalah itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka berdua.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum penghakiman Mahkamah Persekutuan dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sejak 3 tahun lalu, sementara Azilah menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.