Shafie: Musa tak layak arah peguam negeri campur tangan tuntutan Petronas

Shafie: Musa tak layak arah peguam negeri campur tangan tuntutan Petronas

Ketua menteri Sabah sudah mengarahkan peguam besar negeri mendengar dan mengikuti perkembangan tuntutan undang-undang Petronas itu bagi memastikan Sabah tahu apa yang sedang berlaku.

Free Malaysia Today
Shafie Apdal berkata, kerajaan Sabah akan mengambil pendekatan lain mengendalikan isu tuntutan undang-undang Petronas berkaitan pemilikan ke atas sumber petroleum negara. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata Tan Sri Musa Aman tidak berada di kedudukan sepatutnya untuk mengarahkan peguam besar negeri membuat permohonan bagi kerajaan Sabah campur tangan dalam isu tuntutan undang-undang Petronas berkaitan pemilikan ke atas sumber petroleum negara.

Beliau berkata, Musa yang juga adun Sungai Sibuga bukan lagi ketua menteri Sabah.

Shafie berkata, beliau sudah mengarahkan peguam besar negeri mendengar dan mengikuti perkembangan tuntutan undang-undang Petronas itu bagi memastikan Sabah mengetahui apa yang sedang berlaku memandangkan negeri ini turut mempunyai kepentingan sama dengan Sarawak.

Menurutnya, kerajaan Sabah akan mengambil pendekatan lain mengendalikan isu terbabit.

“Apa yang penting, saya telah menyatakan kepentingan kita (Sabah) dan menjelaskannya kepada perdana menteri dan beberapa kepimpinan tertinggi dalam Pakatan Harapan.

“Adalah cukup jelas apa yang diinginkan rakyat Sabah. Saya hanya ingin menuruti kehendak apa yang (rakyat) Sabah mahu,” katanya selepas menghadiri sesi persidangan khas Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Musa mengarahkan peguam besar negeri membuat permohonan bagi kerajaan negeri campur tangan dalam isu tuntutan undang-undang Petronas berkaitan pemilikan terhadap sumber petroleum negara.

Musa dalam kenyataan itu juga berkata, ini bagi melindungi hak Sabah terhadap sumber minyak dan mineral di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.