Dari Kg. Kerinchi ke Bangsar South, tukar nama hilang sejarah

Dari Kg. Kerinchi ke Bangsar South, tukar nama hilang sejarah

Pada kebanyakan masa, penukaran nama bandar ke nama baharu yang lebih glamor serta moden mematikan langsung sejarah dan kisah asal di sebalik nama lama lokasi tersebut.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook

Salah satu manifesto 100 hari pertama pilihan raya ke-14 (PRU14) oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil adalah untuk menukar semula nama Bangsar South kepada Kampung Kerinchi. Kini, Fahmi sedang giat dalam usahanya itu akui menunggu persetujuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hal ini.

Asalnya Kg. Kerinchi, Bangsar South adalah nama yang diberikan 6 tahun dahulu selari dengan pembangunan pesat sekali gus menjenamakan semula kawasan tersebut dengan nama yang “mahal”. Namun, nama itu ternyata menenggelamkan asal-usulnya dan sensitiviti serta pemilikan ikonik penduduk Kerinchi.

Kerinchi adalah nama bagi salah satu keturunan dari Sumatera, Indonesia yang menguasai kawasan Kampung Kerinchi pada awal zaman pembangunan Kuala Lumpur iaitu pada awal abad ke 19.

Apapun, kini usaha mengembalikan nama lama sedang diusahakan.

Menukar nama sesuatu lokasi bukanlah perkara baharu dalam sejarah negara. Ini kerana kita sendiri sudah terbiasa dengan penukaran nama lama kepada yang baharu dan menyesuaikan diri dengan nama tersebut.

Bagaimanapun orang tua-tua yang sudah terbiasa dengan nama lama mungkin sukar untuk menyesuaikan diri dengan nama baharu, malah pada kebanyakan masa golongan ini masih mengingatkan kita dengan nama lama. FMT Ohsem menyenarai beberapa bandar di Malaysia yang mempunyai nama baharu setelah ditukar atas beberapa sebab.

Batang Berjuntai ke Bestari Jaya

Masih ramai di sekitar Kuala Selangor dan Rawang yang menggunakan nama Batang Berjuntai walaupun kini ia ditukar kepada Bestari Jaya. Namun Batang Berjuntai bukanlah nama asal, ia dulunya dikenali dengan nama Kampung Jaya Setia atau Batang Trill yang dibuka pada tahun 1945. Ikutkan kisah lama Batang Berjuntai ialah nama diberi sempena peristiwa pohon merbau yang tumbang ke dalam air dekat kawasan perkuburan tempatan yang terletak di tepi Sungai Selangor. Pohon merbau yang tumbang timbul ikut pada aras air dan dahannya kuat tak pernah patah walaupun pokok asal dah tumbang.
Bagaimanapun pada 2007, Batang Berjuntai ditukarkan kepada Bestari Jaya kerana orang generasi masa kini mengertikan dengan tanggapan yang tak senonoh. Lagipun ia juga menambah nilai kepada pembinaan kampus Unisel di situ.

Teluk Mak Intan kepada Teluk Anson kepada Teluk Intan

Pada 1882 nama Teluk Mak Intan ditukar kepada Teluk Anson sebagai mengenangkan jasa General Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak. Daripada beberapa versi cerita di sebalik nama Teluk Mak Intan, akhirnya ekoran panggilan oleh seorang penulis Melayu. Bukan sahaja nama, lokasi tersebut juga mengalami pelbagai perubahan sehingga dipilih menjadi bandar pentadbiran pada era British. Apapun, pada 1 Januari 1982, kira-kira 100 tahun selepas dinamakan Teluk Anson, Kerajaan Negeri Perak menggantikan nama lama itu dengan nama ‘Teluk Intan’ dan ia kekal sehingga hari ini.

Kg Abdullah Hukum jadi KL Eco City

Sebahagian kawasan yang bersempadanan dengan Bangsar, Kerinchi dan sebahagian besar kawasan Abdullah Hukum kini dinamakan semula sebagai KL Eco City. Glamour tak?
Kampung Abdullah Hukum dinamakan sempena Haji Abdullah Hukum Abdul Rahim, salah seorang orang penting yang terlibat secara langsung dalam pembangunan Kuala Lumpur. Beliau adalah ketua yang membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang dan juga kebun di Bukit Nenas dan juga kawasan Sungai Putih. Tapi sekarang ni Sungai Putih dikenali sebagai Jalan Bangsar dan kawasan sekitar kawasan Sungai Putih pula kampung Melayu yang dinamakan sempena nama beliau, Kampung Abdullah Hukum.
Kini bagi memastikan selari dengan panggilan moden dan glamor, Kampung Abdullah Hukum ditukar nama kepada KL Eco City, sekali gus menjadi penanda aras baru pembangunan komersial dan kediaman bersepadu pertama yang direka bentuk untuk pensijilan Emas di bawah Indeks Bangunan Hijau Malaysia (GBI).
Sayang juga bila nama lama yang mendukung sejarah dilenyapkan atas tiket pembangunan.

Sultan Selangor namakan Kelana Jaya dari Sea Port

Mungkin ramai yang tidak tahu nama bandar Kelana Jaya yang menjadi sebahagian penting bandar raya di Petaling Jaya ini. Asalnya, Kelana Jaya adalah Sea Port dan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan berkenan mengisytiharkan nama baru bagi kawasan tersebut kepada Kelana Jaya pada 1983. Menurut baginda nama Sea Port adalah tidak sesuai dari segi keperibadian Melayu dan penduduk tempatan justeru ditukar sempena nama ayahanda saudara baginda Kelana Jaya Putra. Nama baharu itu diisytiharkan sewaktu merasmikan Kompleks Jemaah Haji di Seri Setia.

Port Swettenham masih terkenal bagi Pelabuhan Klang

Antara pelabuhan yang paling sibuk di Malaysia, Pelabuhan Klang dulunya dikenali sebagai Port Swettenham dan nama lamanya masih agak terkenal dalam kalangan penduduk tempatan mahupun kebanyakan orang. Ini mungkin kerana beberapa catitan sejarah yang mengiktiraf nama Port Swettenham yang diambil dari Sir Frank Swettenham, iaitu seorang Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu.
Port Swettenham ni dibuka secara rasmi sejak tahun 1900 dan nama tersebut digunakan selama 72 tahun dan ditukar kepada nama Pelabuhan Klang pada 12 Januari 1972.

Jesselton diubah kepada Kota Kinabalu

Jesselton adalah nama lama kepada bandar raya Kota Kinabalu. Pada 1968 bersinambung daripada cadangan Tun Mustapha Datu Harun pada tahun 1966 dalam satu perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah, nama Jesselton ditukar kepada Kota Kinabalu sempena Gunung Kinabalu.
Kinabalu berasal daripada nama Aki Nabalu iaitu “datuk” (Aki) dan Nabalu ialah nama untuk gunung dalam bahasa Dusun. Terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa istilah ini berasal daripada Ki Nabalu iaitu Ki bermaksud “ada” atau “wujud”, dan Nabalu bermaksud “semangat orang mati”.

Bandar Tun Abdul Razak di Pahang adalah Bandar Pusat Jengka

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan Bandar Pusat Jengka, Pahang sebagai Bandar Tun Abdul Razak sempena dengan sambutan Hari Peneroka pada Julai 2011. Ia sebagai menghormati misi Tun Abdul Razak yang berusaha membasmi kemiskinan dan menjadikan felda sebagai salah satu kawasan bandar yang membangun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.