
Katanya, Pengerusi Tourism Malaysia ketika ini, Datuk Siew Ka Wai perlu meletak jawatan kerana fakta berkaitan kontrak itu yang disifatkannya “kontrak Speedy Gonzales” menjadikan kedudukannya tidak boleh dipertahankan dan merosakkan imej Tourism Malaysia.
“Dengan semua konflik kepentingan ini, kontrak itu sepatutnya ditolak dari awal lagi.
“Saya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua audit negara menyiasat kontrak ini demi kepentingan orang ramai.”
Wee sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kontrak promosi pelancongan itu yang didakwanya diberikan dalam keadaan “meragukan”.
Bercakap kepada FMT, Wee berkata, beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan konflik kepentingan itu.
Katanya, syarikat tempatan itu ditubuhkan kurang 5 bulan sebelum diberikan kontrak Tourism Malaysia itu dan ia merangkumi pemegang saham, termasuk ketua pegawai eksekutifnya dan koperasi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kopema.
“Beberapa pengurusan atasan Tourism Malaysia adalah sebahagian daripada Kopema. Ini jelas ialah konflik kepentingan secara langsung kerana pemegang jawatan utamanya merupakan pengurusan atasan Tourism Malaysia yang memberikan kontrak itu.”
Katanya, ketua pegawai eksekutif syarikat itu merupakan pakar media sosial sebuah kumpulan media dimiliki Siew.
Oleh itu, Wee berkata, perlu ada “penjelasan” kerana “ia tidak kelihatan elok”.
Katanya, Siew juga ada kaitan dengan 2 syarikat yang berkongsi pejabat berdaftar dengan Geeko Tech.
“Tetapi, alamatnya ialah sebuah unit kediaman,” katanya sambil menambah alamat kediaman ketua pegawai eksekutif syarikat itu terletak bersebelahan pejabat itu “yang tidak kelihatan seperti sebuah pejabat”.
Siew ketika dihubungi enggan mengulas dakwaan terbaru Wee kerana SPRM sedang menyiasat perkara itu.
“SPRM diberi kuasa oleh kerajaan untuk melakukan siasatan. Jadi, biar mereka selesaikan siasatan.”
Tourism Malaysia sebelum ini menafikan dakwaan Wee, kontrak itu melanggar peraturan pemerolehan kerajaan dan semua dokumen ditandatangani untuk inisiatif pemasaran digital itu dibuat dengan telus dan jelas, berdasarkan prosedur pentadbiran.