
Dr Mahathir berkata perjanjian perdagangan itu, yang turut merangkumi Jepun dan Kanada, perlu mengambil kira tahap pembangunan negara terlibat.
“Ekonomi lebih kecil dan lemah perlu diberi peluang untuk melindungi produk mereka,” kata Dr Mahathir, dan menambah “kami perlu mengkajinya semula,” katanya dalam temu bual dengan Nikkei Asian Review semalam.
Cadangan kajian semula Dr Mahathir akan menjadi tamparan kepada perjanjian perdagangan 11 negara ini yang dimuktamadkan berikutan perundingan hangat awal tahun ini ekoran penarikan diri penanda tangan asal perjanjian ini, iaitu Amerika Syarikat (AS).
Perjanjian itu yang kini dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik berikutan penarikan diri AS akan mengurangkan tarif di negara anggota yang secara bersesama mewakili 13% ekonomi dunia – dan jumlah KDNK sebanyak AS$10 trilion – 40% dengan kehadiran AS.
Dr Mahathir tidak menolak signifikan perjanjian seperti TPP dan tidak memberitahu sama ada Malaysia mahu meninggalkan perjanjian itu sepenuhnya.
Dr Mahathir dilantik kali kedua sebagai perdana menteri selepas memenangi pilihan raya umum bulan lepas mengalahkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dan berjanji mahu menghapuskan rasuah dan menurunkan kos hidup.
Sebaik mengambil alih pemerintahan beliau segera mengkaji semula beberapa projek dan perjanjian yang ditandatangani kerajaan Najib, termasuk membatalkan projek keretapi laju dengan Singapura (HSR) dan mengkaji semula projek keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.
Beliau berkata, kerajaan “mesti mengkaji semula semua perjanjian” yang dibuat kerajaan dulu, termasuk pakatan prasarana, perdagangan dan keselamatan.
Katanya Malaysia juga akan mengkaji semula Kod Tingkah Laku di Laut China Selatan yang sedang dirundingkan antara Beijing dan Asean.
Dr Mahathir dilaporkan berkata Malaysia tidak mahu melihat kehadiran kapal perang di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Selain Malaysia, 10 lagi negara yang mengambil bahagian dalam perjanjian TPP ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.