Keluarga saspek Sosma buat laporan terhadap Zamihan, dakwa pengakuan paksa

Keluarga saspek Sosma buat laporan terhadap Zamihan, dakwa pengakuan paksa

Mereka mendakwa penceramah kontroversi itu membuat tuduhan tidak berasas terhadap pemimpin kerajaan semasa sesi bersama tahanan di penjara.

Free Malaysia Today
Zamihan (dua dari kanan) selepas menjalankan sesi bersama saspek Sosma di sebuah penjara di Perak tahun lepas (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ahli keluarga tahanan Sosma menuduh pegawai agama kerajaan Zamihan Mat Zin memaksa mereka membuat pengakuan semasa sesi rehabilitasi.

Difahamkan 5 laporan polis dibuat terhadap Zamihan, yang dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Peguam mewakili keluarga tahanan berkata, antara aduan terhadap Zamihan ialah menekan tahanan membuat pengakuan bawah Sosma atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, satu undang-undang keselamatan kontroversi yang umumnya digunakan terhadap saspek pengganas.

Mereka berkata Zamihan juga membuat tuduhan tidak berasas terhadap pemimpin Pakatan Harapan.

Zamihan, yang mengetuai pertubuhan bernama Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang antara lain mahu orang Islam Malaysia mengikut mazhab Shafi’i, ditugaskan oleh pihak penjara menjalankan program rehabilitasi bagi tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh.

Tahun lepas beliau mengundang kontroversi selepas mengkritik pendirian Sultan Johor berhubung kedai dobi khas untuk orang Islam, dan kerana membuat kenyataan menghina mengenai tahap kebersihan orang Cina Malaysia.

Beliau ditahan dan disiasat kerana menghasut, dan ditempelak oleh Sultan Johor dan Selangor.

Ketika membatalkan tauliah mengajarnya, Sultan Selangor memanggil beliau seorang rasis, sementara Sultan Johor menyifatkan beliau “tin kosong yang tidak ada otak”. Zamihan memohon ampun kepada mereka, tetapi mengancam menyaman FMT kerana didakwa salah petik ucapan beliau.

Esok anggota keluarga tahanan akan mengadakan sidang media untuk memperincikan aduan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.